mk-logo
Berita
Dr M jumpa Azmin, Hadi tuduhan tak berasas, kata Marzuki
Diterbitkan:  Jun 20, 2020 10:04 PM
Dikemaskini: 2:12 PM

Dakwaan Dr Mahathir Mohamad telah bertemu dengan bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang adalah tuduhan tidak berasas, kata kata Marzuki Yahya.

"(Ia) adalah tidak benar dan ia satu tuduhan yang tidak berasas malah khabar angin mengenai pertemuan itu sengaja diadakan untuk menimbulkan spekulasi terhadap Dr Mahathir Mohamad.

"Pendirian Dr Mahathir sudah jelas dan tidak perlu diperkotak-katikkan mana-mana pihak, hal ini kerana beliau menginginkan mandat rakyat dikembalikan seberapa segera kerana tidak mahu melihat kerajaan 'Muhyiddin' terus menerus melakukan kerosakan terhadap negara sekaligus menjejaskan kehidupan rakyat," kata Marzuki yang merujuk dirinya sebagai setiausaha agung Bersatu dalam suatu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan seorang pemimpin PKR ketika mendedahkan Presidennya Anwar Ibrahim telah bertemu Muhyiddin dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin telah mendakwa Mahathir pula telah bertemu Azmin dan Abdul Hadi.

"Beberapa tindakan yang dilakukan Muhyiddin sebagai perdana menteri sekarang ini khususnya dengan melakukan pelantikan secara besar-besaran kepada ahli parlimen yang berada di pihaknya telah membuktikan bahawa beliau 'dahagakan' sokongan majoriti untuk memastikan beliau kekal berkuasa sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 tanpa mengira mereka siapa lawan atau kawan sebelum ini," kata Marzuki.

Untuk rekod, Mahathir pernah bertemu dengan Azmin dan Hadi bagaimanapun hal itu berlaku sebelum runtuhnya kerajaan PH pada penghujung Februari lalu dan setakat ini tiada pertemuan baru yang dilaporkan.

Sementara itu, katanya Mahathir dan beberapa MP Bersatu tetap teguh memegang prinsip kerana tidak mengkhianati mandat dan kepercayaan yang diberikan rakyat pada PRU14 lalu.

"Dr Mahathir tetap dengan pendirian untuk tidak membuka kerjasama dengan pemimpin yang telah mengkhianati mandat yang diberikan rakyat serta pemimpin yang hanya melompat semata-mata demi mendapatkan kuasa dan kepentingan diri.

"Sebaliknya, Dr Mahathir tetap berjuang dan kekal utuh dengan pendirian untuk terus bersama Pakatan Harapan yang telah dipilih rakyat dalam PRU-14 untuk mentadbir Malaysia seterusnya melaksanakan agenda dan membawa harapan seperti mana yang diinginkan rakyat terhadapnya sebagai perdana menteri," kata Marzuki lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS