Adun Sungai Acheh Zulkifli Ibrahim mengesahkan beliau menghadiri mesyuarat bersama anggota PKR yang digantung keanggotaannya ketika ini, Dr Afif Bahardin, semalam.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Zulkifli memberitahu mesyuarat tersebut turut melibatkan beberapa Adun lain termasuk dari Umno, PAS dan Bersatu.
Mengulas spekulasi berkenaan mesyuarat itu, Zulkifli memberitahu Malaysiakini: "Ya, ada mesyuarat tapi saya tidak boleh mendedahkan apa yang dibincangkan."
Selain mengakui mereka bercakap mengenai satu dua perkara, Zulkifli berkata Adun yang hadir itu mungkin akan mengeluarkan kenyataan bersama dalam masa terdekat.
Semalam tular satu notis media daripada seseorang bernama Hery dan memaklumkan mengenai pertemua Afif dengan beberapa Adun pembangkang Pulau Pinang di Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah.
Dikatakan juga terdapat kemungkinan “berita sensasi” susulan mesyuarat itu.
Bagaimanapun, Adun Seberang Jaya dan bekas exco Pulau Pinang itu kemudian menafikan pihaknya ada menggunakan khidmat individu bernama Hery sebagai pegawai khas beliau.
Ada pengalaman perladangan
Pejabat Afif turut menafikan akan mengadakan sidang media, walaupun tidak menolak dakwaan kelangsungan mesyuarat tersebut.
Malam tadi, bekas pemimpin PKR Badrul Hisham Shahrin bagaimanapun, mendedahkan dua keping gambar diambil di pejabat Afif di Bukit Mertajam City Mall. Satu daripadanya menunjukkan pertemuan iut sedang berlangsung.
Zulkifli berkata bahawa spekulasi mengenai kehadirannya dalam pertemuan itu didorong oleh pelantikannya baru-baru ini sebagai anggota lembaga Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee.
"Saya terkejut kerana saya masih ahli PKR [...] tetapi saya menerima pelantikan itu kerana kawasan saya adalah kawasan pertanian.
"Saya juga mempunyai pengalaman di sektor perladangan," tambahnya.
Afif merupakan Adun PKR yang digantung keanggotaannya kerana didakwa bersekutu dengan bekas timbalan presiden parti itu, Azmin Ali.
Sejak itu, Afif, bersama dengan Adun Gombak Setia, Hilman Idham, telah menubuhkan sebuah NGO baru yang digelar Pemuda Negara, dengan barisan penyelaras negeri yang menampilkan nama-nama yang sebelumnya bergabung dengan PKR.
PKR masih belum memutuskan status keahlian Afif tetapi wakil rakyat dua penggal itu berundur dari jawatan exco negeri berikutan nasihat Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Pulau Pinang juga telah memindahkan tempat duduk Afif dan dua Adun Bersatu yang lain ke blok pembangkang.