Bekas Perdana Menteri Najib Abdul Razak berkata bahawa beliau bukan seperti bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Presiden PKR Anwar Ibrahim dan veteran DAP Lim Kit Siang.
Najib berkata demikian selepas anaknya Mohd Nizar tidak dipilih sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil (PRK) Chini.
Katanya, walaupun anaknya Nizar sebagai ketua pemuda Umno Pekan memang layak dari segi jawatan parti, kepimpinan, pengalaman serta pendidikan, amat janggal jika Nizar menjadi Adun Chini yang terletak di bawah kerusi parlimen Pekan.
Kata Najib, hal itu memandangkan beliau sendiri sudah menjadi anggota parlimen Pekan.
"Nama saya bukan Anwar atau Mahathir mahupun Kit Siang dan Umno bukan parti milik keluarga sesiapa.
"Lagipun, adalah amat janggal jika Nizar menang dan anak saya menjadi Adun di sebuah parlimen di mana saya adalah ahli parlimennya," katanya dalam satu hantaran Facebook pagi tadi.
Demikian katanya, ketika mengulas berikutan pengumuman BN semalam memilih AJK Umno bahagian Pekan Mohd Sharim Md Zain sebagai calon di PRK Chini.
Ini selepas desas-desus awal bahawa anak Najib akan dipilih sebagai bakal calon di PRK itu.
Untuk rekod, Umno sentiasa mengkritik Dr Mahathir, Anwar dan Lim sebagai mengamalkan nepotisme selepas ahli keluarga mereka terlibat dalam politik.
"Ramai dalam bahagian Umno Pekan dan rakan-rakan BN juga menyokong Nizar dicalonkan.
"Namun pendirian saya ialah, ada lagi pemimpin Umno di sini yang setara atau lebih sesuai dari Nizar untuk menjadi calon PRK DUN Chini.
"Saya juga telah berbincang pendirian saya dengan Nizar dan dia bersetuju," katanya.
"Lebih molek jika kita beri peluang pada pemimpin Umno lain di sana yang lebih sesuai," tambahnya lagi.
PRK Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya Abu Bakar Harun, pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan lusa, 20 Jun, sebagai tarikh penamaan calon manakala 30 Jun sebagai hari pengundian awal. Hari membuang undi dijadualkan pada 4 Julai nanti.
Pada PRU lalu, Abu Bakar yang mewakili BN menang dengan majoriti 4,622 undi dengan 10,027 undi, menewaskan Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (PAS) dan Mohamar Razali Ithnain (PKR): masing-masing memperoleh 5,405 undi dan 1,065 undi.