Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM tahan penganggur dipercayai terima wang berkaitan Tabung Covid-19

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang penganggur kerana dipercayai meminta dan menerima wang berkaitan sumbangan Tabung Bencana COVID-19.

Menurut sumber, lelaki berusia 57 tahun itu ditahan di Bukit Kempas, di sini, kira-kira pukul 5 petang semalam bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Hasil siasatan mendapati suspek meminta dan menerima wang berjumlah RM350 berkaitan sumbangan Tabung Bencana COVID-19, yang mana jika sumbangan tidak diberikan, suspek akan membawa pegawai daripada Jabatan Kastam dan Jabatan Imigresen untuk membuat operasi di kedai peniaga yang mempunyai pekerja warga asing.

Lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang boleh dikenakan hukuman denda sehingga lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun jika sabit kesalahan.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS