Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
LFL persoal mengapa pelancong yang visa tamat tempoh ditahan imigresen

Kumpulan peguam, Lawyers for Liberty (LFL) mempersoalkan mengapa puluhan pelancong ditahan walaupun pihak berkuasa memberi jaminan mereka akan diberi pengampunan.

"Kami mempersoalkan mengapa pelancong ditahan walaupun ada jaminan Jabatan Imigresen bahawa pelancong yang pas mereka telah tamat semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) akan diberi pengampunan," kata penyelaras LFL, Zaid Malek ketika dihubungi Malaysiakini.

Malaysiakini semalam melaporkan jabatan imigresen menahan puluhan pelancong dan pelancong perniagaan dari India setelah visa masuk mereka selama 30 hari tamat tempoh ketika PKP.

Anggota keluarga mereka di India memberitahu Malaysiakini bahawa saudara mereka ditahan semasa serbuan di Masjid India pada bulan Mei, dan telah ditahan lebih satu bulan di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil - yang menjadi titik panas Covid-19 dengan lebih daripada 600 jangkitan.

Keluarga Zeeawdeen dari Chennai, India diberitahu oleh Suruhanjaya Tinggi India pada 15 Jun bahawa warganegara India berusia 67 tahun yang meninggal dunia di depoh tahanan imigresen di Bukit Jalil adalah ketua keluarga mereka, Zeeawdeen Kadar Masdar.

Zeeawdeen adalah pelancong yang terkandas ketika penerbangan ke India dibatalkan semasa penutupan lapangan terbang di seluruh dunia.

Dokumen visa menunjukkan dia memasuki negara ini pada 17 Mac, sehari sebelum PKP dikuatkuasakan.

Dia dijadualkan kembali ke Chennai pada 20 Mac tetapi ditahan lebih sebulan sebelum ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Menurut dokumen kesihatan, ujian yang dilakukan ke atas Zeeawdeen menunjukkan dia positif Covid-19 tetapi tidak dijangkiti wabak berkenaan sebelum ditahan. 

Seorang wakil keluarga masih menunggu untuk membawa balik mayatnya. 

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata Zeeawdeen bukan individu yang mati dalam tahanan imigresen pada 12 Jun.

LFL berkata, maklumat yang bertentangan mengenai warganegara India ini adalah "petunjuk jelas mengenai kurangnya ketelusan oleh pihak berkuasa".

Zaid juga mempersoalkan bagaimana warganegara India berkenaan boleh dijangkiti Covid-19 sekiranya mereka yang ditahan diuji negatif penyakit itu.

"Pihak berkuasa mesti bertanggungjawab untuk memberikan jawapan.

"Sebarang kematian dalam tahanan mesti dipacu oleh siasatan bebas untuk meneliti perkara tersebut.

"Bagaimanapun, tanpa mengira status undang-undang mereka yang ditahan, ini semakin meningkatkan kebimbangan kita bahawa pusat-pusat depoh tahanan ini adalah pusat jangkitan Covid-19," katanya kepada Malaysiakini.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS