Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Yeoh: Saya faham bidang kuasa, hormat raja-raja Melayu
Diterbitkan:  Jun 18, 2020 10:04 PM
Dikemaskini: 3:51 PM

Anggota Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menafikan dakwaan bekas peguam kanan persekutuan, Mahamad Naser Disa bahawa ciapan yang dibuat beliau berhubung isu perkahwinan bawah umur sebagai satu 'terjahan' terhadap kedaulatan raja-raja sebagai ketua negeri.

Sebaliknya, Yeoh yang juga bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata beliau sangat menghormati kedaulatan undang-undang dan Raja-Raja Melayu.

"Saya tak rasuah dan tak menindas rakyat. Saya tak salah guna kuasa. Saya hormat kedaulatan Raja-raja. 

"Lima tahun saya berkhidmat sebagai Speaker Dewan Negeri Selangor berusaha sedaya upaya untuk membuat pembaharuan legislatif bagi negeri naungan DYMM Sultan Selangor. Saya faham bidang kuasa," kata Yeoh di Twitter.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Mahamad Naser berhubung ciapan Yeoh pada 9 Mac lalu.

Naser yang juga adalah bekas ketua pegawai eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim) hari ini dilaporkan berkata, hal ehwal kekeluargaan Islam termasuk isu perkahwinan bawah umur adalah bidang kuasa negeri.

Justeru, katanya sebarang usaha Kerajaan Persekutuan untuk meminda had usia perkahwinan khususnya membabitkan umat Islam perlu mendapat perkenan sultan selaku ketua agama bagi negeri.

"Kuasa negeri berkaitan hal ehwal Islam tertumpu kepada majlis agama Islam negeri dan tuanku sultan sebagai ketua agama.

"Apa yang Hannah Yeoh cuba buat menerusi 'tweetnya' adalah satu terjahan kepada kedaulatan raja-raja sebagai ketua negeri. DAP perlu belajar hal ini," kata Naser kepada Malaysiakini.

Pihak polis menyiasat Yeoh berhubung ciapan Twitternya pada 9 Mac lalu mengenai status Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur di bawah kementerian berkenaan.

Melalui ciapan asal itu Yeoh menanda Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sekarang, Siti Zailah Mohd Yusoff dari PAS.

Siti Zailah yang juga anggota parlimen Rantau Panjang sebelum ini dilaporkan mempertahankan perkahwinan bawah umur atas alasan ia dibenarkan Islam.

Yeoh disiasat mengikut peruntukan Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Yeoh dalam ciapan berlainan pula menyatakan rasa kesalnya terhadap apa yang berlaku dan berkata hanya Tuhan sahaja yang mengetahui segala penat lelahnya dalam memperjuangkan nasib golongan terbabit.

"Tahukah anda betapa penatnya perjalanan saya sebagai wakil rakyat yang hanya mahu berkhidmat dan membuat yang terbaik untuk kanak-kanak, wanita dan keluarga, tetapi selalu difitnah oleh pelbagai pihak.

"Hanya Tuhan sahaja yang maha mengetahui," ciapnya di Twitter.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS