Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRK Chini: Kalau bertanding keahlian gugur serta-merta - Bersatu

Keahlian Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pekan, Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin akan terlucut serta-merta sekiranya beliau meneruskan hasrat bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Chini pada 4 Julai ini.

Menurut Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Megat Najmuddin Megat Khas, perkara itu tidak perlu dibawa ke mesyuarat lembaga disiplin kerana telah jelas dinyatakan dalam perlembagaan parti.

“Kalau dia buat begitu, dia automatik out (keluar) lah, sebab dia macam masuk pembangkang, atau dia ingkar kepada arahan atau susunan yang dibuat oleh parti.

“[...] (Fasal) 10.2.4, jelas di situ- automatik, serta merta (terlucut keahlian) kalau dia jadi calon yang bukan daripada parti kita, sebagai calon bebas. Tak payah nak bawa ke lembaga disiplin lagi,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin 

Berdasarkan perlembagaan Bersatu, Fasal 10 adalah berkenaan “Pemberhentian Dan Pemecatan Ahli”.

Fasal 10.2.4 menyatakan, keahlian ahli akan terhenti secara serta-merta apabila “bertanding dalam pilihan raya menentang calon parti dan/atau tanpa kebenaran parti”.

Tengku Zainul Hisham sebentar tadi dilaporkan menyuarakan hasrat untuk bertanding dalam PRK Chini sebagai calon bebas, setelah mengambil kira pertimbangan teliti dan bersedia berdepan “segala risiko tindakan yang akan dikenakan parti” terhadap keputusannya itu.

Beliau akan menggunakan simbol rumah dan membawa manifesto 'Menjadi Suara Rakyat Chini' dalam PRK itu nanti.

Ini bertentangan dengan kenyataan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin semalam bahawa Bersatu tidak akan meletakkan calon dan akan memberikan sokongan kepada sekutu barunya dalam Perikatan Nasional (PN), iaitu BN yang mengumumkan calon tadi.

“Seluruh jentera Bersatu juga akan digerakkan untuk memastikan kemenangan wakil Perikatan Nasional,” kata Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin.

Sementara itu, BN hari ini mengumumkan ahli jawatankuasa Umno Pekan Mohd Sharim Md Zin sebagai calon untuk PRK Chini pada 4 Julai ini.

Mohd Sharim Md Zin

Menurut Umno Online, Sharim merupakan pegawai kepada penyandang kerusi DUN itu, Abu Bakar Harun, yang meninggal kerana serangan jantung bulan lalu.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Megat Najmuddin bagaimanapun mengambil sikap tunggu dah lihat tentang sama ada Tengku Zainul Hisham akan benar-benar mengotakan apa yang disuarakannya atau pun tidak.

“Kena tunggulah sama ada dia betul (akan bertanding), atau dia saja cakap. Tengok dulu.

“Tapi kalu betul, memang out-lah,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan lusa, 20 Jun, sebagai tarikh penamaan calon manakala 30 Jun sebagai hari pengundian awal. Hari membuang undi dijadualkan pada 4 Julai nanti.

PRK Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya Abu Bakar Harun, pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung.

Pada PRU lalu, Abu Bakar yang mewakili BN menang dengan majoriti 4,622 undi dengan 10,027 undi, menewaskan Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (PAS) dan Mohamar Razali Ithnain (PKR): masing-masing memperoleh 5,405 undi dan 1,065 undi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS