Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Timb ketua bahagian Bersatu Pekan umum tanding bebas PRK Chini
Diterbitkan:  Jun 18, 2020 4:37 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

PRK CHINI |  Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pekan, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, mengumumkan hasrat bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, pada 4 Julai ini.

Tengku Zainul Hisham, 64, yang merupakan ahli perniagaan akan menggunakan simbol rumah dan membawa manifesto 'Menjadi Suara Rakyat Chini', menyifatkan keputusan untuk bertanding dibuat selepas mengambil kira maklum balas penduduk DUN Chini.

“Keputusan ini juga mengambil kira pertimbangan teliti dan saya bersedia berdepan segala risiko tindakan yang akan dikenakan parti dengan ketetapan saya untuk bertanding, mengambil kira kerjasama Perikatan Nasional antara Bersatu dan Umno

“Sebagai calon bebas, saya tidak boleh menjanjikan bulan dan bintang kepada penduduk, tetapi saya mempunyai sokongan tersendiri dan sebagai anak jati Pekan, saya sudah mendengar masalah penduduk setempat sejak sekian lama,” katanya pada sidang media di Felda Chini 2 di Pekan, hari ini.

Sehubungan itu, Tengku Zainul Hisham berjanji akan menjadi suara kepada peduduk DUN Chini, jika mereka berani 'mengubah tradisi' menerima seorang wakil rakyat tanpa parti, selain percaya pengundi mempunyai semangat untuk melakukan perubahan yang di kawasan yang dikenali sebagai kubu Umno.

Tengku Zainul Hisham yang merupakan pesara polis, merayu kepada pengundi untuk memberi peluang kepada beliau berkhidmat dalam tempoh yang singkat, mengambil kira masa yang masih berbaki sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, perlu diadakan.

PKR DUN Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 Jun ini, sebagai tarikh penamaan calon manakala 30 Jun sebagai hari pengundian awal.

Pada PRU ke-14, Abu Bakar yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 4,622 undi selepas mendapat 10,027 undi manakala calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim memperoleh 5,405 undi dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR, hanya mendapat 1,065 undi.

- Bernama

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS