Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pendakwaan akan pinda pertuduhan kes terbitan bon 1MDB
Diterbitkan:  Jun 18, 2020 1:06 PM
Dikemaskini: 5:08 AM

Pihak pendakwaan bagi kes melibatkan Goldman Sachs International Ltd, yang berpangkalan di UK, dan entitinya di Asia, Goldman Sachs (Asia) LLC dan Goldman Sachs (Singapore), yang menghadapi pertuduhan berhubung penjualan bon 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM27.2 bilion (US$6.5 bilion), akan melampirkan beberapa pindaan dalam kertas pertuduhan.

Timbalan Pendakwaraya, Manoj Kurup memberitahu pemberita, pindaan itu adalah berkenaan dengan tanggungjawab.

"Menurut peguam berkenaan, pindaan berkenaan adalah cukup besar, jadi mereka perlukan masa untuk mendapatkan arahan.

"Kita juga perlukan masa untuk menyediakan pindaan pertuduhan terhadap pihak yang berada di luar negara memandangkan kita menutup sempadan negara sehingga 31 Ogos (kerana Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan).

"Mahkamah menetapkan 4 Sept untuk melanjutkan kes pengurusan, jadi pada hari berkenaan kita akan meletakkan beberapa pindaan terhadap pertuduhan yang sedia ada,” katanya selepas kes pengurusan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan di kamarnya di Kuala Lumpur, hari ini.

Peguam-peguam Hisyam Teh Poh Teik, Krishna Dallumah, Datuk Prem Ramachandran dan Chetan Jethawani mewakili Goldman Sachs.

Pada 24 Feb, Goldman Sachs menerusi wakilnya, Ng Keng Leong, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan di hadapan Hakim Mohamed Zaini.

Mahkamah menetapkan perbicaraan bermula 9 Nov ini.

Pada Disember 2018, Malaysia mengemukakan empat pertuduhan ke atas tiga entiti berkenaan kerana didakwa meninggalkan fakta material berhubung penjualan bon terbitan antara anak syarikat 1MDB dan Aabar Investment PJS Ltd (Aabar).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di 1MDB, Aras 8, Menara IMC, No. 8, Jalan Sultan Ismail, di sini antara 19 Mac, 2012 hingga 11 Nov, 2013.

Syarikat itu dituduh di bawah Seksyen 179 (c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 182 Akta yang sama dan sabit kesalahan boleh dipenjara untuk satu tempoh tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat menganggarkan kira-kira $4.5 bilion diselewengkan daripada 1MDB antara 2009 hingga 2014.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS