Sekiranya Dr Mahathir Mohamad diangkat sebagai perdana menteri buat kali ketiga di bawah Pakatan Harapan (PH), DAP berkata ada kaedah yang akan digunakan untuk memastikan bekas perdana menteri itu berundur pada jangka waktu ditetapkan.
Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke mengakui terdapat keraguan berkaitan perkara itu.
"Sudah tentu, orang boleh mempersoalkan apakah beliau (Mahathir) akan menepati janjinya. Jawapan kami adalah bahawa dalam masa enam bulan lagi, ada mekanisme untuk memastikan beliau berundur.
"PKR ada 38 wakil parlimen. Tanpa mereka, Mahathir tidak dapat meneruskan pemerintahan.
"Setiap parti (komponen PH) akan dapat menjatuhkan kerajaan jika mereka menarik sokongan. Sekiranya janji itu tidak ditepati (oleh Mahathir), PKR mempunyai pilihan untuk memaksa pilihan raya pada waktu itu," katanya.
Menurut Loke, PH wajib membentuk kerajaan dengan sekutunya kerana mandat yang diberikan rakyat semasa pilihan raya umum (PRU) 2018.
Menjawab soalan lain, Loke berkata DAP lebih cenderung belajar dari kesilapan masa lalu daripada terlibat dalam permainan menyalahkan siapa yang bertanggungjawab atas kejatuhan kerajaan PH.
"Sudah tentu jika anda ingin saling menuding jari, semua orang akan saling tuduh-menuduh. Kami bersedia belajar dari masa lalu dan terus maju.
"Jika kita saling tuduh-menuduh, satu pihak salahkan Mahathir, pihak lain salahkan yang satu lagi. Tidak ada penghujungnya.
"Saya tidak kata Matahir tidak buat sebarang kesilapan. Kami telah memberitahu beliau bahawa tindakan letak jawatan tanpa berbincang dengan sesiapa dan itu mengakibatkan kerajaan PH tumbang," tambahnya.
Loke juga mengesahkan bahawa Mahathir yang kini berusia 95 tahun, meminta tempoh enam bulan sebelum menyerahkan jawatannya kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Dia berkata Mahathir telah memberitahu dalam mesyuarat PH Plus bahawa beliau mahukan enam bulan sebelum menyerahkan kuasa kepada Anwar untuk menunjukkan kesungguhannya menghormati perjanjian mereka.
Untuk rekod, gabungan PH yang merangkumi Bersatu, DAP, PKR dan Amanah telah menandatangani satu perjanjian pada 7 Januari 2018, menamakan Mahathir sebagai calon PM dan Anwar sebagai pengganti.
Kali ini, "Pakatan Harapan Plus" mencadangkan untuk mengembalikan kombinasi dari tahun 1993 hingga 1998 dengan Mahathir sebagai perdana menteri dan Anwar sebagai timbalan perdana menteri.
Mahathir dan Anwar perlu kerjasama
Mengulas lanjut, Loke berkata bahawa kombinasi Mahathir-Anwar tidak boleh dilihat dari sisi siapa menang siapa kalah, dan sebaliknya kedua-duanya perlu bekerjasama sekiranya ingin menghormati amanat dari pengundi pada 2018.
"Mereka mesti bekerjasama.
"Kita memerlukan sokongan untuk mengalahkan Perikatan Nasional (PN). Oleh itu kedua-dua pemimpin mesti bekerjasama," katanya.
Pada masa yang sama, Loke berkata DAP memahami bahawa akan menjadi keputusan yang sukar bagi Anwar untuk mengetepikan perbezaannya dengan Mahathir.
"Kami memahami sepenuhnya," tambahnya.
Mengenai sama ada Mahathir cuba meletakkan anaknya, Mukhriz dalam rundingan "Pakatan Harapan Plus", Loke menafikan perkara itu.
"Untuk bersikap adil terhadapnya (Mahathir), beliau tidak pernah membawa masa depan politik anaknya untuk dipertimbangkan (dalam perbincangan). Beliau tidak pernah memberitahu bahawa anaknya mesti diberi jawatan," tambahnya.
Loke juga menjelaskan bahawa perbincangan difokuskan pada dua kombinasi - Anwar dan Mukhriz serta Mahathir dan Anwar.
Katanya, Presiden Warisan Shafie Apdal tidak pernah termasuk dalam rundingan sebagai calon untuk kombinasi baru itu.
Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa Warisan telah membantah gabungan Anwar dan Mukhriz.