Puluhan pelancong dan pelancong perniagaan dari India terkandas dalam tahanan imigresen setelah visa masuk selama 30 hari mereka tamat tempoh ketika perintah kawalan pergerakan (PKP), kata ahli keluarga mereka.
Dianggarkan 60 pelancong terkandas di Malaysia apabila penerbangan mereka dibatalkan dan ditahan dalam serbuan pihak berkuasa setelah visa pelancong mereka tamat tempoh, kata NGO Pravasi Legal Cell yang berpusat di Delhi.
Anggota keluarga mereka di India memberitahu Malaysiakini bahawa saudara mereka ditahan semasa serbuan di Masjid India pada bulan Mei, dan telah ditahan lebih satu bulan di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil - yang menjadi titik panas Covid-19 dengan lebih daripada 600 jangkitan.
Berita mengenai seorang lelaki India telah meninggal dunia di depoh Bukit Jalil pada 12 Jun menyebabkan ahli keluarga tahanan kelam kabut mendapatkan maklumat mengenai saudara mereka.
Salah seorang adalah wanita dari Hyderabad, yang mempunyai seorang ayah yang ditahan sepadan dengan gambaran yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan.
"Ketika kami membaca berita (kematian), ketenangan kami hilang sepenuhnya kerana butiran orang yang mati itu sepadan dengan ayah saya," katanya.
"Ayah saya mempunyai penyakit jantung dan telah mengambil banyak ubat setiap hari selama 10 tahun terakhir. Kami khuatir dia tidak mempunyai akses terhadap ubat-ubatan ini,” kata seorang ahli keluarga, yang enggan didedahkan namanya.
Hanya sehari kemudian, dia mendapat tahu dari Suruhanjaya Tinggi India bahawa ayahnya masih hidup. Abangnya, yang bersama dengan ayahnya, juga berada dalam tahanan imigresen.
"Kami bimbang akan keselamatan mereka di pusat tahanan, begitu bimbang sehinggakan kami takut untuk mendapatkan bantuan undang-undang," katanya.
Keluarga sebenar lelaki yang dilapor meninggal dunia itu memberitahu Malaysiakini bahawa mereka mengetahui tentang kematian itu melalui laporan berita.
Mereka hanya mendapat pengesahan rasmi beberapa hari selepas itu.
Sebilangan anggota keluarga berkata bahawa mereka menerima panggilan telefon pada hari serbuan itu, daripada saudara mereka yang panik mengatakan bahawa mereka diatahan kerana "tinggal terlalu lama". Yang lain mengetahui penahanan itu melalui rakan keluarga di Malaysia.
Dokumen yang dilihat oleh Malaysiakini menunjukkan para pelancong itu tiba di Malaysia beberapa hari sebelum perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan pada 18 Mac. Semuanya mempunyai tiket pulang, tetapi penerbangan mereka telah digantung.
India melarang semua penerbangan antarabangsa mendarat, mulai 23 Mac, tetapi syarikat penerbangan, termasuk Malaysia Airlines dan AirAsia, menangguhkan penerbangan Malaysia-India minggu sebelumnya.
"Saya dapat memahami pihak berkuasa Malaysia menahan imigran tanpa dokumen, tetapi orang-orang ini adalah pelancong yang mempunyai visa yang sah. Mereka tidak boleh ditahan,” kata perwakilan Pravasi Legal Cell Malaysia, Zahir Hussain A.
Zahir bertindak mewakili keluarga tiga tahanan.
Penahanan itu bertentangan dengan pengumuman Majlis Keselamatan Negara bahawa semua pelancong yang terkandas tidak akan menghadapi tindakan imigresen semasa PKP.
Jabatan Imigresen juga telah mengeluarkan pemberitahuan untuk mengizinkan semua pelancong yang tinggal melebihi tempoh untuk keluar dari negara ini tanpa dikenakan undang-undang.
Zahir membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) apabila aduannya kepada Suruhanjaya Tinggi India tidak memberi kesan.
Suhakam memberitahu Malaysiakini bahawa pihak mereka akan mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu dari Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Tinggi India.
Suruhanjaya Tinggi India dan pejabat menteri dalam negeri Malaysia tidak membalas permintaan untuk maklumat lanjut dari Malaysiakini, tetapi Jabatan Imigresen menafikan bahawa pelancong yang terkandas ditahan.
“Mereka yang ditahan tidak berdokumen atau tinggal terlalu lama. Mereka memasuki Malaysia sebelum Januari 2020,” kata jurucakap Jabatan Imigresen.
Bagaimanapun, dokumen, termasuk cap pemeriksaan imigresen dan dokumen visa lain, menunjukkan sekurang-kurangnya enam pelancong yang ditahan oleh pegawai Jabatan Imigresen telah tiba di Malaysia pada bulan Mac.
"Suami saya mempunyai tiket penerbangan balik. Dia mengatakan dia cuba menunjukkan semua dokumen itu tetapi orang-orang imigresen mengatakan dia tinggal terlalu lama,” kata seorang wanita, yang bercakap kepada Malaysiakini dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan kerana bimbang suaminya akan disasarkan dalam tahanan.
Senarai yang disusun oleh organisasi di Chennai menunjukkan 22 nama dan nombor pasport pelancong India yang ditahan dalam tahanan Jabatan Imigresen.
Adrian Pereira, pengarah eksekutif NGO hak asasi manusia North South Initiative, membantu beberapa keluarga tahanan yang tersenarai dan telah mendapat pengesahan dari Jabatan Imigresen bahawa mereka ditahan di depoh Bukit Jalil.
"Ketika saya bertanya (pegawai depoh) mengapa mereka ditahan di sana sedangkan mereka pelancong, saya diberitahu untuk mendapatkan maklumat lanjut dari Jabatan Imigresen di Putrajaya," katanya.
"Imigresen harus segera mendedahkan nama, kewarganegaraan dan alasan penahanan semua tahanan PKP," katanya.
Keluarga hilang punca pendapatan
Sebilangan pelancong yang ditahan adalah merupakan satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga mereka, menyebabkan keluarga mereka tiada sumber pendapatan selama tiga bulan sejak mereka tiba di Kuala Lumpur.
Seorang pemuda, anak sulung dari empat orang adik beradik, mengatakan bahawa keluarganya tidak dapat membayar sewa sejak ayahnya pergi ke Kuala Lumpur dan hanya menagih ehsan tuan tanah untuk tinggal di rumah mereka.
Bapanya, Mohamed Jan Rabi Sultan Alaudeen, 46, tiba di Kuala Lumpur dalam perjalanan perniagaan dan dijadualkan pulang melalui IndiGo Airlines pada 19 Mac.
Syarikat penerbangan itu membatalkan penerbangan Kuala Lumpur-Chennai mulai 18 Mac.
Masih berharap dapat kembali, Mohamad Jan membeli tiket untuk pulang menaiki penerbangan AirAsia dan Batik Air pada 2 April dan 16 April, tetapi larangan penerbangan antarabangsa ke India dilanjutkan sehingga 30 Jun.
Semua yang bercakap dengan Malaysiakini mengatakan bahawa mereka telah mendaftarkan keluarga mereka di Suruhanjaya Tinggi dengan harapan mereka dapat diutamakan dalam misi India untuk membawa pulang warganya yang terkandas di luar negara.
Salah satu keluarga diberitahu oleh pegawai Suruhanjaya Tinggi India bahawa pejabat mereka telah menghubungi Jabatan Imigresen Malaysia mengenai masalah ini dan sedang menunggu maklum balas jabatan itu.
SK Tajudeen, yang rakannya Kuppu Balakrishnan dipercayai ditahan di depoh Bukit Jalil, mengatakan ahli keluarga dan rakannya sanggup menanggung kos penghantaran balik dan kuarantin.
“Isterinya buta huruf dan tinggal di kampung. Dia terus memanggil saya dan menangis tentang suaminya setiap hari. Tolong bantu kami membawanya kembali,” kata Tajudeen.