Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Shahril: Umno tiada masalah punya dua pemimpin menonjol
Diterbitkan:  Jun 18, 2020 9:33 AM
Dikemaskini: 1:33 AM

Umno tidak mempunyai masalah untuk mempunyai dua pemimpin yang menonjol dalam parti iaitu, presiden parti Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden Najib Razak, kata ketua penerangan parti itu Shahril Hamdan.

Dia menolak tanggapan yang melihat Najib sebagai halangan terhadap kepemimpinan berkesan Zahid dalam Umno.

"Tidak, Umno diberkati dengan sejumlah tokoh yang kuat yang mempunyai jenama peribadi mereka sendiri, populariti peribadi mereka sendiri tetapi kebanyakan populariti bebas mereka itu sering ditanggapi atau disalahtafsir sebagai berlaku ketegangan dalam parti.

"Tetapi saya rasa semua orang boleh bercakap antara satu sama lain. Kita telah melihat gambar-gambar mesyuarat, kita melihat sebenarnya, individu yang dikatakan seperti itu sebenarnya bergaul mesra,'' katanya dalam wawancara dengan Malay Mail.

Najib meletak jawatan sebagai presiden Umno dan pengerusi BN pada 12 Mei 2018 berikutan kekalahan BN pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Najib kemudian diheret ke mahkamah dengan pelbagai tuduhan yang berkaitan dengan 1MDB.

Zahid mengambil alih jawatan pemangku presiden dan secara rasmi dipilih sebagai presiden Umno dalam pemilihan parti pada bulan Jun 2018.

Zahid juga menghadapi 47 kesalahan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah. Dia kemudian mengambil cuti selama tujuh bulan dan menyerahkan tugasnya kepada timbalan presidennya Mohamad Hasan.

Dalam wawancara itu, Shahril menafikan wujud kem berbeza dalam parti, dan mengatakan bahawa ia memang merupakan tanda wacana yang meriah dan hormat dalam parti.

"Saya yakin ada perselisihan di sana-sini tetapi itu adalah satu perkara yang sihat. Dari segi struktur parti, jelas bahawa presiden parti berada di puncak dan Mohamad adalah timbalan," katanya.

“Kedua-duanya memainkan peranan tetapi jika ada keputusan dasar yang penting, jelas presiden mempunyai budi bicara muktamad bersama dengan dewan tertinggi secara keseluruhan.

"Saya rasa itu bukan perkara besar yang berlaku. Sekarang ini kita mempunyai beberapa tokoh yang benar-benar kuat dan mempunyai pengikut yang besar tetapi itu tidak membawa kepada ketegangan dalam parti,'' katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS