mk-logo
Berita
Pemimpin Umno, PH sepakat pertahan Hannah Yeoh
Diterbitkan:  Jun 17, 2020 7:40 PM
Dikemaskini: 11:43 AM

Berlainan parti dan berbeza fahaman, namun hari ini Anggota Parlimen Pengerang dari Umno, Azalina Othman Said, tampil membela wakil rakyat Pakatan Harapan dalam isu kebebasan bersuara.

Melalui media sosial bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mempersoalkan kewajaran untuk pihak berkuasa memanggil Anggota Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, untuk disoal siasat berhubung ciapannya mengenai isu perkahwinan bawah umum sebelum ini.

Azalina yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno turut membidas tindakan itu yang disifatkan sebagai sesuatu yang tidak wajar.

"Ini duluan yang buruk dan boleh menyebabkan kebanjiran 'yang tak diperlukan' untuk menyoal ahli parlimen atau Adun kerana menyuarakan pandangan melalui Twitter," tegasnya hari ini.

Pandangan Azalina itu dihantar dengan mengepilkan ciapan awal daripada Yeoh semalam. Melalui media sosial itu Yeoh memberitahu beliau dipanggil Bukit Aman untuk memberi keterangan berkenaan salah satu ciapannya.

"Sekarang ini, tanya soalan pun tak boleh. Sidang Parlimen bulan Mei juga tak diberi peluang tanya soalan. Roadmap ini hasil kerja kuat pentadbiran bawah PH," kata Yeoh.

Isu yang dibangkitkan bekas timbalan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu - pada 9 Mac lalu - ialah mengenai status Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur di bawah kementerian berkenaan.

Melalui ciapan asal itu Yeoh menanda Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sekarang, Siti Zailah Mohd Yusoff dari PAS.

Siti Zailah yang juga anggota Parlimen Rantau Panjang sebelum ini dilaporkan mempertahankan perkahwinan bawah umur atas alasan ia dibenarkan Islam.

Desak bersikap adil

Katanya, umat Islam tidak pernah mempersoalkan pilihan paderi Buddha dan Katolik untuk tidak berkahwin.

Ciapan Azalina itu turut menanda Menteri Dalam Negeri, Hamza Zainuddin, serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah.

Yeoh disiasat mengikut peruntukan Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sementara itu bekas menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dr Wan Azizah Wan Ismail turut membela Yeoh.

Kata Wan Azizah pada 16 Januari lalu kerajaan Pakatan Harapan melancarkan Pelan Strategik Kebangsaan komprehensif untuk menangani masalah perkahwinan bawah umur.

Siti Zailah Mohd Yusoff

"Jadi, adakah salah sebagai bekas timbalan menteri yang menyusun rancangan strategi itu untuk bertanya kepada timbalan menteri baru (Siti Zailah) mengenai perkara berkenaan?

"Ini memandangkan Kelantan juga merupakan salah satu negeri yang menolak usaha menaikkan had usia perkahwinan.

"Saya mendesak pihak berwajib untuk bersikap adil, dan saya mengingatkan Putrajaya agar tidak melakukan intimidasi politik terhadap anggota parlimen yang menjalankan tugas mereka menyuarakan masalah rakyat," katanya yang juga bekas timbalan perdana menteri.

Gambar fail

Dalam perkembangan sama wakil pimpinan wanita PH juga tampil senada mempertahankan Yeoh.

"Hannah (Yeoh) telah bertindak dalam batas peranannya sebagai ahli parlimen pembangkang dan bekas timbalan menteri untuk menyuarakan kebimbangannya yang wajar dijelaskan terhadap rakyat Malaysia.

"PDRM harus menghormati hak bersuara rakyat Malaysia dan ahli parlimen untuk menyoal dan mengkritik kerajaan tanpa rasa takut.

"Bukankah ini asas kepada sistem demokrasi? Langkah mengheret seorang ahli parlimen sewenang-wenangnya hanya kerana beliau bertanyakan satu soalan relevan adalah seperti gangguan oleh pihak polis untuk mendiamkan mereka yang mempersoalkan kerajaan dan dasar-dasarnya," kata kenyataan bersama Senator Raj Munni Sabu (Amanah); Adun Kapayan, Jannie Lasimbang; dan Naib Ketua Wanita PKR, Sangetha Jayakumar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS