Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Solat Jumaat di semua masjid di N Sembilan mulai minggu ini

Semua masjid dan surau Jumaat di Negeri Sembilan dibenarkan melaksanakan solat Jumaat bermula 19 Jun ini.

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata perkara itu telah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.

"Semua masjid dan surau terbabit harus menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang sama yang dilaksanakan oleh lapan masjid pada dua Jumaat sebelum ini.

"Berdasarkan solat Jumaat yang telah dilaksanakan sebelum ini kita lihat masyarakat berjaya mematuhi SOP dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di Seremban hari ini.

Aminuddin juga berkata bagi masjid dan surau di kawasan kampung, memadai mereka merekodkan kehadiran jemaah secara manual berbanding mengimbas kod QR yang dilaksanakan di sesetengah masjid dan surau lain di negeri itu.

“Jumlah jemaah bergantung pada keluasan masjid dan surau tetapi mesti kurang daripada kapasiti sebenar bagi mematuhi jarakan sosial,” katanya.

Bagi rumah ibadat bukan Islam, Aminuddin berkata pihak berkenaan akan bermesyuarat esok dan premis terbabit dijangka dapat beroperasi kembali bermula minggu depan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS