mk-logo
Berita
Azmin: Cukup-cukuplah bangkitkan isu calon PM untuk PH

Bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali menasihatkan Pakatan Harapan (PH) agar "cukup-cukuplah" membangkitkan isu pemilihan calon perdana menteri.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mendakwa keadaan sama sekali berbeza dalam Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir negara sejak tiga bulan lalu apabila isu perdana menteri tidak dibangkitkan.

"Cukup-cukuplah... sehingga hari ni pun tak selesai lagi nak pilih siapa calon perdana menteri.

"Kalau itu tak boleh diseselaikan, dari tahun 1998 rakyat diheret ke jalan raya, rakyat diheret ke kancah politik kerana dua individu ini.

"Kalau tidak A, B. Kalau tidak B, A," katanya dipercayai merujuk kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim, dan Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad yang kini menjadi tumpuan ramai kerana bakal dinamakan sebagai calon perdana menteri PH.

Kedua-dua tokoh berkenaan pernah berseteru pada 1998 apabila Anwar disingkirkan daripada jawatannya sebagai timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno oleh Mahathir.

Bagaimanapun kedua-dua mereka berdamai sebelum PRU ke-14 pada 2018 dan menyaksikan PH mendapat mandat rakyat untuk menjadi kerajaan, sekali gus menolak Umno-BN daripada kuasa.

Namun peristiwa Langkah Sheraton - dengan Azmin menjadi antara watak penting menjayakannya - membolehkan PH dijatuhkan dan PN muncul sebagai kerajaan baru.

Bila selesai masalah negara

Namun pengkritik menegaskan PN menjadi kerajaan tanpa mandat rakyat kerana tiada mana-mana parti dalam gabungan tidak berdaftar itu - kecuali Bersatu - mendapat mandat dalam PRU ke-14 lalu.

PH disebut-sebut memiliki sokongan mencukupi untuk menguasai semula kerusi parlimen jika isu calon perdana menteri dapat dimuktamadkan, sekali gus mengembalikan semula Putrajaya kepada mereka.

Terdahulu Azmin ditemui media semasa menghadiri majlis penyampaian anugerah perkhidmatan cemerlang Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri 2019 di Menara Miti di Kuala Lumpur.

Menurut Azmin, PKR harus bertanggungjawab berhubung isu tersebut kerana ia membuktikan bahawa seseorang dalam parti itu perlu "melakukan sesuatu" kerana didakwanya membuat anggota berasa muak.

Azmin semasa hadir di Hotel Sheraton akhir Feb lalu

"Sampai bila kita nak selesaikan masalah negara?

"Jadi saya ingat, sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga bulan (PN menjadi kerajaan), orang tak tanya dah siapa the next PM (perdana menteri seterusnya). Aman tiga bulan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azmin berkata Malaysia tidak akan membayar sebarang pampasan kepada Singapura berhubung projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan republik itu dengan Kuala Lumpur.

Kata ahli parlimen Gombak itu, penangguhan projek berkenaan merupakan persetujuan bersama kedua-dua negara.

Bagaimanapun, Azmin berkata kedua-dua negara akan mengadakan pertemuan tidak lama lagi bagi membincangkan lebih lanjut perkara tersebut.

"Pada prinsipnya kami bersetuju bahawa projek ini membawa keuntungan kepada kedua-dua negara. Tetapi kita perlu membincangkan isu teknikal projek ini kerana perlu mengambil masa yang lama.

"Kalau boleh selesaikan keseluruhan perbincangan dalam tiga hingga empat bulan pasti kita akan bertemu lagi. Buat masa ini pasukan teknikal kita akan bertemu selepas Aidilfitri," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS