Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MCA tetap akan bertanding di Tanjung Malim
Diterbitkan:  Jun 17, 2020 4:08 PM
Dikemaskini: 8:27 AM

MCA Bahagian Tanjung Malim berkata parti mereka akan tetap bertanding di kawasan berkenaan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Mengulas kenyataan terdahulu pemimpin Umno bahagian itu yang menyarankan MCA mencari tempat lain untuk bertanding, ketuanya, Goh Choong Seng menegaskan kerusi berkenaan merupakan kerusi tradisional MCA.

"Persoalan mengenai calon mana yang akan bertanding dan di mana dia bertanding adalah hak kepemimpinan pusat.

"Ini bukan masalah yang dapat ditentukan secara sepihak oleh ketua bahagian.

"MCA akan terus mempertahankan kerusi parlimen Tanjung Malim kerana ia adalah kerusi tradisional MCA, dan kami akan terus meletakkan calon," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim Khusairi Talib menyalahkan konflik dalaman MCA atas kekalahan BN pada PRU lalu di parlimen itu dan di DUN Behrang.

Khusairi menyebutkan bahawa konflik itu melibatkan kem yang bersaing untuk melobi Timbalan Presiden MCA Mah Hang Soong (gambar atas) dan kem yang melobi bekas setiausaha agung MCA Ong Ka Chuan untuk menjadi calon di Tanjung Malim.

Dia juga mendakwa kumpulan yang kini memimpin MCA Bahagian, ketika itu kecewa bila Ong tak dicalonkan sehingga berkempen secara terang menyeru penyokong dan pengundi mengundi PH.


Berita berkaitan: Umno Tg Malim minta timb presiden MCA cari kerusi lain


Kata Khusairi, Umno Tanjung Malim tidak akan menerima individu yang "bersekongkol dengan pengkhianat" dan menyebabkan kekalahan BN pada PRU lalu.

Khusairi juga mendakwa 60 dari 63 cabang Umno di Tanjong Malim telah meluluskan usul agar Umno bertanding di kerusi Tanjung Malim, dan bukannya MCA, pada PRU ke-15.

"Nasihat saya selaku Pengerusi BN Bahagian Tanjong Malim, sebaiknya Mah tidak persia-siakan masanya yang semakin terbatas sebelum PRU ke-15," katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan balasnya hari ini, Goh berkata MCA tidak pernah mengetepikan rakyat dan pengundi di Tanjung Malim walaupun telah kalah pada PRU ke-14.

Sebaliknya, katanya, MCA meneruskan pekerjaan harian dan melayani penduduk kawasan itu tanpa henti.

Untuk rekod, Mah, yang kini menjadi senator dan timbalan menteri pendidikan, tewas kepada Chang Lih Kang dari PKR dengan majoriti 5,358 undi.

Chang ketika itu memperoleh 24,672 undi, Mah 19,314 undi dan calon PAS Mohd Tarmizi Ab Rahman memperoleh 10,311 undi.

Parlimen Tanjung Malim terdiri daripada 56 peratus pengundi Melayu, 26 peratus Cina, 13 peratus India, dan enam peratus pengundi etnik lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS