Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim hari ini membuat permohonan maaf terbuka kerana belum dapat memuktamadkan calon perdana menteri Pakatan Harapan Plus ketika usaha mengambil semula kerajaan daripada Perikatan Nasional masih menjadi agenda gabungan berkenaan.
Menyatakan permohonan maaf itu secara langsung hari ini Anwar berkata ada pelbagai aspek yang perlu dipertimbangkan sebelum keputusan mengenainya diumumkan.
Antaranya kata Anwar mengenai prinsip reformasi untuk kepedulian terhadap masalah rakyat, mengembalikan keyakinan pelabur dan menjana semula ekonomi negara.
"Sebab itu kita (PH Plus) memohon maaf kerana kita terpaksa menangguhkan sedikit pengumuman mengenai kepimpinan yang bakal menerajui negara kita," katanya di Facebooknya hari ini.
Mesyuarat PH Plus pada minggu lalu bermesyuarat di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya bagi membincangkan pelan mengambil kembali Putrajaya selepas berlaku Langkah Sheraton yang kemudian menyaksikan kemunculan Perikatan Nasional.
Selain parti gabungan PH, ia juga mempertemukan kepemimpinan tertinggi Warisan dan kumpulan penyokong Dr Mahathir Mohamad - pengerusi Bersatu yang dipertikaikan keanggotaannya.
Mereka bersetuju memberikan masa sehingga seminggu untuk tampil dengan cadangan mengenai kepemimpinan baru untuk rakyat. Bagaimanapun sesetengah pihak berkata keputusan itu mungkin dicapai - dan diumumkan - seawal 16 Jun.
Kata Anwar sudah ada keputusan yang dibuat mengenai hal itu namun PH Plus tetap perlu mengambil kira beberapa faktor yang menghalang ia diumumkan.
Jangan sampai korban prinsip
"Semalam Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Saifuddin Nasution Ismail, telah mengeluarkan kenyataan bahawa belum ada keputusan muktamad.
"PH sebagai satu badan memang dah buat keputusan tetapi kita terpaksa rujuk kepada teman-teman lain, termasuk Warisan dan kelompok Bersatu di bawah pimpinan Dr Mahathir," katanya.
Apa yang penting ditekankan, kata Anwar, ialah keutamaan PH untuk mempastikan agenda perubahan ekonomi rakyat dan tatakelola serta tadbir urus yang baik itu dipastikan lebih baik daripada apa yang pernah dilakukan kerana pengalaman menunjukkan gabungan itu menghadapi sedikit masalah untuk meraih dukungan rakyat.
Tambah Anwar, isu yang perlu ditangani bukan saja untuk mempercepatkan proses pengambilalihan kerajaan selepas ia dirampas PN sebaliknya ada perkembangan lain yang perlu diambil kira.
Misalnya, kata Anwar, pelanggaran hukum dan kebobrokkan dalam sistem perundangan, badan kehakiman, serta hukuman melepaskan golongan kaya serta golongan korporat, manakala golongan bawahan mengalami nasib sebaliknya.
"Itu semua kerana perubahan yang berlaku dibawah pimpinan PN. Jadi, bagi kita perubahan itu mendesak dan harus disegerakan
"Tetapi janganlah menyegerakan sehingga mengorbankan prinsip utuh iaitu perubahan itu mesti dengan maksud kepedulian terhadap pemasalahan rakyat, mesti dengan kesedaran bahawa perubahan ini akan membawa perubahan dalam negara, memberi keyakinan kepada pelabur dan menjana pertumbuhan ekonomi dan ini menjadi persoalan pokok dalam PH," katanya.
[Berita lanjut menyusul]