Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes Zahid: Tiga saksi serah cek kosong kepada 'Omar Ali'

KES ZAHID | Empat saksi memberikan keterangan berkenaan cek kepada akaun pelanggan, Tetuan Lewis & Co, dalam perbicaraan kes pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini

Daripada empat saksi ini, tiga mengaku memberikan cek yang dikosongkan bahagian penerimanya kepada individu bernama “Omar Ali”.

Saksi ke-58, K Rajan Gunaretnam yang merupakan ahli perniagaan, memaklumkan bahawa dia meminjam wang sebanyak RM100,000 daripada Omar Ali yang merupakan kenalannya sejak 22 tahun lalu, untuk membuat urusan jual-beli jam jenama Corum.

Katanya, dia memberikan cek atas namanya bernilai RM102,300 kepada Omar pada 28 Jun 2016 dan menganggap lebihan wang yang dibayar kepada Omar itu sebagai “keuntungan bersama” (shared profit).

Ketika ditanya timbalan pendakwa raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong dalam pemeriksaan utama, Rajan berkata dia mengosongkan bahagian penerima atas arahan Omar, namun tidak tahu siapa yang menulis Lewis & Co sebagai penerima apabila dirujuk dengan cek berkenaan di mahkamah.

Saksi ke-60, Khatijah Sulaiman@Suleiman, yang merupakan pengarah syarikat pembinaan Cergas Murni Sdn Bhd, turut membuat pembayaran tiga keping cek kepada Omar Ali, meskipun mengakui tidak pernah berjumpa dan “tidak kenal” akan Omar Ali yang menurutnya, seorang “pengurup wang”.

Katanya, syarikatnya mengalami “masalah” semasa projek membina jambatan ketiga Klang, dan dicadangkan rakan perniagaan bahawa Omar Ali dapat menyelesaikan masalah berkenaan.

“Cek ini juga dikeluarkan atas arahan Omar Ali kerana kami mahu menggunakan wang tunai, dia akan menukarkan wang tunai dari kedai pengurup wang (money changer) beliau dengan cek syarikat Cergas Murni Sdn Bhd.

“Saya bersetuju dengan cadangan Omar Ali tersebut dan menyediakan cek berikut dengan dikosongkan di ruangan nama pembayar tersebut,” katanya.

Selepas ditandatangani olehnya dan seorang lagi pengarah syarikat, cek-cek bernilai RM1,011,520 itu diserahkan ke bahagian akaun syarikat untuk diserahkan kepada Omar Ali.

Saksi ke-46 yang merupakan pegawai Maybank semalam mengesahkan, ketiga-tiga cek Cergas Murni berkenaan - masing-masing bernilai RM447,773.42, RM 259,047.04, dan RM 304,699.54 - dimasukkan ke akaun pelanggan Lewis & Co antara Mac hingga April 2016.

Ketika ditanya Harris dalam pemeriksaan utama, Khatijah mengakui tidak tahu siapakah Lewis & CO, dan tidak tahu cek tersebut akan dibayar serta tujuan ia dibayar kepada syarikat berkenaan.

Saksi ke-61, Ong Weng Fatt yang merupakan pengarah Hwa Tong Bags Industries Sdn Bhd (HTBISB), mengaku memberikan dua cek kepada Omar Ali, satu menggunakan cek syarikat bernilai RM80,000, dan satu menggunakan cek peribadi bernilai RM170,000.

Berdasarkan keterangan saksi terdahulu, kedua-dua cek itu dimasukkan ke akaun Lewis & Co pada Jun dan Julai 2016.

Kata Ong, cek syarikat tersebut dikeluarkan untuk membayar sebuah syarikat pembekalan dari Singapura, Seng Leather Good (PTE) LTD, dan atas arahan Omar Ali, cek berkenaan dikosongkan ruang penerimanya.

“Bagaimanapun saya tak ada tunai dalam simpanan syarikat. Memandangkan saya perlukan RM80,000 tunai untuk pembayaran (itu), atas arahan Omar Ali, kawan saya, saya bersetuju untuk keluarkan cek kosong (anonymous cheque) dan tulis hanya RM80,000 untuk diserahkan kepada Omar Ali.

Sebagai pertukarannya, dia (Omar Ali) akan serahkan RM80,000 tunai kepada pembekal itu,” katanya berdasarkan pernyataan bertulisnya.

Cek peribadinya turut dikeluarkan dengan cara sama, bertujuan untuk menukar wang dari mata wang Ringgit Malaysia ke New Zealand, untuk kegunaan anak lelakinya yang sedang belajar di University Auckland.

Bagaimanapun, dia mengaku dimaklumkan dan melihat dengan mata sendiri Omar Ali menulis Lewis & Co pada ruang “bayar” cek peribadinya itu, namun tidak mencurigai apa-apa memandangkan dia telah menerima wang untuk urusan pertukaran wang berkenaan.

Dalam pemeriksaan utama oleh Harris, kata Ong, dia tidak mengenali Lewis & Co dan tidak mempunyai apa-apa hubungan perniagaan dengan syarikat berkenaan.

Di mahkamah siang tadi, Rajan dan Ong turut diminta membuat pengecaman terhadap Omar Ali.

Nama Omar Ali sebelum ini pernah muncul dalam perbicaraan pada 6 Mac, apabila saksi 42, turut mengaku sering menyerahkan cek kepada individu bernama “Omar” yang dikosongkan ruang “bayar” (penerima).

Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah (CBT) melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Ahmad Zahid dituduh menerima cek berjumlah RM65 juta menerusi peguam dari Messrs Lewis & Co, dengan sebahagian besar daripada amaun itu kemudiannya digunakan untuk penempatan deposit tetap bawah nama firma tersebut.

Selain itu, dua unit banglo berjumlah RM5.9 juta didakwa dibeli tertuduh menggunakan duit tersebut.

Berdasarkan pertuduhan ke-27 pengubahan wang haram, Ahmad Zahid dituduh melibatkan diri dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram, dengan cara mengarahkan Omar Ali Abdullah mengubah bagi pihaknya wang tunai berjumlah RM6,885,300.20 kepada 30 keping cek yang kemudiannya telah diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co.

Ia didakwa dilakukan untuk tujuan pembelian simpanan tetap di Maybank, yang mana ia merupakan hasil aktiviti haram.

Saksi terakhir hari ini, saksi ke-62, Mubarak Hussain Akhtar Husin, pemilik Syarikat Seri Jaya Perkasa Sdn Bhd pula memberitahu mahkamah bahawa dia diarahkan Ahmad Zahid sendiri untuk menulis ruangan “bayar” di cek kepada Lewis & Co.

Katanya, cek peribadi berjumlah RM2 juta itu merupakan sumbangan ikhlas darinya buat sekolah tahfiz milik Ahmad Zahid di Melaka bagi menampung kos-kos bulanan sekolah tersebut, pada 2016.

Berdasarkan pernyataan bertulisnya, syarikatnya mempunyai kontrak imigresen dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menjalankan penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin, sejak tarikh dia membeli syarikat berkenaan pada 2002 hinggalah tahun 2017.

Ketika pemeriksaan utama oleh Harris, Mubarak mengakui yang ketika cek itu dikeluarkan, kontrak tersebut masih lagi berjalan, dan dia turut tidak meminta pengecualian cukai terhadap sumbangan itu kerana “tidak terfikir” untuk berbuat demikian pada masa itu.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Hamidi Mohd Noh, dia mengakui bahawa duit sumbangannya itu adalah dari cek peribadinya, direkodkan dalam penyata kewangannya, dan tidak ada apa-apa isu undang-undang berkaitan sumber wang tersebut.

Dia turut bersetuju dengan cadangan seorang lagi peguam bela, Ahmad Zaidi Zainal bahawa kontrak imigresen syarikatnya bermula dari tahun 2001- setahun sebelum dia memiliki syarikat itu.

Sekiranya dikira dengan pembaharuan kontrak setiap dua tahun sekali, Mubarak bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa ketika cek itu diberikan kepada Ahmad Zaidi pada 2016, status kontrak tersebut sebenarnya sudah pun diperbaharui- iaitu pada tahun 2015.

Mubarak turut sekali lagi menegaskan bahawa sumbangan RM2 juta itu adalah ikhlas dan tidak diminta oleh Ahmad Zahid, dan tidak ada kena mengena dengan sebarang projek dengan KDN.

“Malah, saya juga ada bantu dari segi mendapatkan guru-guru tahiz dari luar untuk imtiyaz tersebut,” katanya ketika pemeriksaan semula oleh Harris.

Perbicaraan bersambung esok. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS