Ketika wabak Covid-19 mulai mereda di Malaysia, masalah baru pula muncul iaitu pengangguran.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah pekerja yang bekerja pada bulan Februari adalah seramai 15.3 juta orang.
Angka itu menyusut 2.8 peratus hanya dalam tempoh dua bulan dengan kira-kira 411,100 tidak bekerja semasa tinjauan tenaga kerja dilakukan pada bulan April.
Semalam, DOSM mendedahkan kadar pengangguran - jumlah penganggur yang aktif mencari pekerjaan bergaji dibahagi dengan jumlah individu dalam tenaga kerja - pada bulan April mencecah 5 peratus.
Malaysia tidak pernah menyaksikan kadar pengangguran 5 peratus sejak tahun 1990 dan kadar pengangguran rata-rata adalah sebanyak 3.2 peratus antara 2010 dan 2019.
Dalam ekonomi, pengangguran sangat tidak diingini kerana ia antara lain menyebabkan penurunan output ekonomi negara, menyebabkan daya beli yang lebih rendah, peningkatan jenayah dan masalah sosial.
Beberapa pakar ekonomi yang bercakap kepada Malaysiakini memberitahu situasi terburuk masih belum berlaku.
Ahli ekonomi, Lee Hwok Aun berkata, walaupun sektor ekonomi dibuka kembali, banyak perniagaan tidak dapat beroperasi dengan kapasiti penuh kerana peraturan, tekanan terhadap permintaan atau kedua-duanya.
Lebih-lebih lagi, Lee berkata, angka pengangguran tidak mewakili individu yang mungkin kehilangan kerja kerana keadaan semasa.
DOSM menyatakan pengangguran yang tidak aktif meningkat sebanyak 102.2 peratus tahun ke tahun kepada sekitar 319,000 ribu orang pada April disebabkan kategori ini percaya tiada pekerjaan yang tersedia untuk mereka di pasaran.
Walaupun Lee tidak dapat memberikan ramalan mengenai kadar pengangguran kerana kekurangan data, pengarah eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Zakariah Abdul Rashid meramalkan Malaysia akan menyaksikan 1.7 juta pengangguran pada akhir tahun, atau kadar pengangguran sekitar 11 peratus.
Sekiranya Zakariah betul, pengangguran akan mencapai tahap yang tidak pernah dilihat dalam empat dekad yang telah direkodkan.
Ketua ekonomi dan ketua penyelidikan AmBank Group Research, Anthony Dass menjangkakan kadar pengangguran sekurang-kurangnya 6 peratus pada akhir tahun, dengan kira-kira 500,000 orang dijangka memasuki pasaran buruh tahun ini.
Lebih banyak subsidi gaji diperlukan
Walaupun kerajaan menyatakan keberhasilan program subsidi upah dalam menyelamatkan "2.4 juta" pekerjaan, sektor perniagaan dari hotel sehingga kepada hiburan telah ditutup selama beberapa minggu terakhir ini.
Lee berkata walaupun subsidi upah, dasar pengurangan kos dan moratorium pinjaman menawarkan sokongan untuk perniagaan, namun pengambilannya perlahan disebabkan oleh birokrasi.
"Kadar pengambilan yang agak perlahan, terutama subsidi gaji, menunjukkan jumlah sokongan dan syarat yang dilampirkan untuk menerima subsidi itu mungkin tidak menarik bagi banyak perniagaan.
"Lama kelamaan, syarikat yang tidak menuntut subsidi, beroperasi di bawah kapasiti dan pengurangan dalam simpanan akan menyebabkan mereka bergelut untuk mengekalkan pekerja atau bahkan untuk terus berniaga," kata fellow kanan di ISEAS Yusof Ishak Institut itu.
Lee berkata skim subsidi gaji, yang menyumbang sebahagian besar suntikan fiskal langsung sebanyak RM35 bilion, boleh memberi kesan lebih baik sekiranya lebih tinggi.
"Jumlah pemberian subsidi yang lebih besar - katakanlah, 75 peratus hingga 85 peratus upah, bukannya RM600 atau RM1,200 - mungkin dapat mengurangkan lebih banyak kehilangan pekerjaan," katanya.
Untuk fasa kedua skim subsidi gaji, majikan boleh mendapatkan subsidi sebanyak RM600 bagi setiap pekerja dari bulan Julai hingga September.
Hanya pekerja yang berpendapatan di bawah RM4,000 sahaja layak dan jumlah penerima subsidi bagi setiap syarikat adalah 200 orang.
Bagi seseorang yang memperoleh gaji sekitar RM2,308 sebulan, subsidi adalah 26 sebanyak peratus.
Sebagai perbandingan, Singapura memberi subsidi 75 peratus upah untuk semua pekerja tempatan selama 10 bulan dari Februari sehingga Ogos.
United Kingdom pula memberi subsidi gaji hingga 80 peratus, dengan harga £ 2,500 (RM13,494) sebulan, dari bulan Mac hingga Oktober.