Pembelian dua unit banglo oleh Yayasan Falah yang dikaitkan dengan Yayasan Akalbudi milik Ahmad Zahid Hamidi dibuat atas dasar jarak yang dekat dengan surau.
Perkara itu dinyatakan Lee Kim Tiong @ Lee Kim Yew, yang merupakan pengarah Bee Garden Holdings Sdn Bhd, pemilik asal banglo yang terletak di Country Heights, Kajang berkenaan.
Lee merupakan saksi ke-57 perbicaraan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Ahmad Zahid yang masuk hari ke-22 hari ini.
Dia berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan peguam bela Ahmad Zaidi Zainal, yang bertanya apakah dia tahu bahawa tujuan pembelian lot-lot berkenaan oleh Yayasan Al-Falah adalah untuk dijadikan kawasan keagamaan seperti sekolah agama dan tahfiz.
Ahmad Zaidi: Tadi Tan Sri (Lee) bagitahu kenal Datuk Zahid (Ahmad Zahid). Adakah Tan Sri tahu, Yayasan Al-Falah yang membeli lot-lot banglo ini ada kaitan dengan Datuk Zahid?
Lee: Saya tahu
Ahmad Zaidi: Tan Sri tahu ke tidak, lot-lot tersebut akan ditukarkan untuk tujuan keagamaan, tahfiz atau pun sekolah agama Islam?
Lee: Saya tak tahu dia tukar atau apa. Tapi saya memang tahu, bila mereka (Yayasan Al-Falah) beli tanah ini, kerana (banglo-banglo itu) dekat dengan surau dan ada kaitan pembelian tanah ini dengan surau itu.
Lee turut bersetuju dengan cadangan Ahmad Zaidi bahawa Ahmad Zahid merupakan seorang dermawan yang banyak membuat kerja amal berbentuk sumbangan kebajikan.
Selain itu, Lee yang juga pengasas dan pengerusi Country Heights Holdings Berhad, bersetuju dengan cadangan Ahmad Zaidi bahawa dua unit banglo yang asalnya rumah contoh bagi Country Heighs itu, dijual pada bawah harga pasaran kerana keadaannya yang tidak terurus kerana lama tidak berpenghuni.
Kedua-dua rumah itu dijual pada 2017 dengan harga RM150 sekaki.
Lee bersetuju menjual satu lot pada haga RM3,022,500 - kemudian dilaraskan menjadi RM3 juta- manakala satu lagi pada harga RM2,885,250 - kemudian dilaraskan menjadi RM2.9 juta.
Bagaimanapun, ketika pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi, Lee mengakui bahawa semasa urusan jual beli banglo-banglo berkenaan, tiada siapa memberitahunya bahawa tujuan pembelian adalah untuk aktiviti keagaamaan seperti dicadangkan Ahmad Zaidi, dan dia pun tidak ada bertanya mengenainya.
Dia turut bersetuju dengan cadangan Ahmad Sazilee bahawa pengurangan harga yang dibuat terhadap penjualan banglo itu tidak ada kena mengena dengan faktor ia dekat dengan surau seperti yang dibangktikan pembelaan.
Perjanjian urusan jual beli itu ditandatangani oleh Lee dan seorang lagi pengarah Bee Garden Holdings, Nik Hassan Nik Mohd Amin bagi pihak penjual manakala pihak pembeli diwakili Mohamad Nasaee bin Ahmad Tarmizi, pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Al-Falah.
Menurut Lee, bayaran penyelesaian urusan jual beli dua banglo setingkat itu kepada Yayasan Al-Falah diterima melalui cek Maybank berjumlah RM5.9 juta atas nama Messrs Lewis & Co yang bertarikh 4 Januari 2017.
Untuk rekod, Mohamad Nasaee merupakan adik Ahmad Zahid.
Berdasarkan keterangan dalam prosiding sebelum ini, Yayasan Al-Falah dikatakan sebagai sebahagian daripada projek oleh Yayasan Akalbudi.
Ahmad Zahid merupakan pengasas, pemegang amanah, dan penandatangan tunggal Yayasan Akalbudi.
Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah (CBT) melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Ahmad Zahid dituduh menerima cek berjumlah RM65 juta menerusi peguam dari Messrs Lewis & Co, dengan sebahagian besar daripada amaun itu kemudiannya digunakan untuk penempatan deposit tetap bawah nama firma tersebut.
Selain itu, dua unit banglo berjumlah RM5.9 juta didakwa dibeli tertuduh menggunakan duit tersebut.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa memberi arahan dalam pembelian dua buah rumah jenis banglo berkenaan, dengan menggunakan cek milik Tetuan Lewis & Co, yang merupakan hasil aktiviti haram.
Perbicaraan dijalankan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah.