Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shafee akan lawan permohonan pendakwaan pinda pertuduhan

KES PINDA AUDIT 1MDB | Pihak pendakwaan dalam usaha meminda pertuduhan dalam kes pindaan laporan audit 1MDB terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

Bagaimanapun ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah menyuarakan bantahan terhadap permohonan itu.

Sebelum prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ditangguhkan hari ini, ketua DPP Gopal Sri Ram memberitahu hakim Mohamed Zaini MAzlan bahawa pihaknya mahu meminda susunan kata dalam pertuduhan terhadap Najib.

Sri Ram merujuk pertuduhan terhadap Najib dan bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy berhubung dakwaan meminda laporan akhir audit terhadap syarikat itu. Arul didakwa bersubahat dalam perkara tersebut.

Beliau berkata cadangan pindaan berkaitan dengan satu "kesalahan tipografi" dalam pertuduhan.

Shafee kemudian bangun dan membantah permohonan itu, dengan berkata pembelaan telah bergantung kepada pertuduhan asal dalam persediaan menghadapi perbicaraan.

"Kami akan bantah (cadangan) pindaan pertuduhan kerana persediaan kami berdasarkan pertuduhan ini. Kami akan membantah dengan keras," kata Shafee.

Zaini kemudian menetapkan untuk mendengar permohonan itu pada pukul 9.30 pagi esok.

Ketika ditemui selepas prosiding, DPP Ahmad Akram Gharib berkata pihak pendakwaan ingin meminda pertuduhan agar ia menjadi "begitu jelas".

Ketika ditanya berkenaan aspek khusus dalam pertuduhan yang ingin dipinda, Akram tidak memberitahu secara khusus bahagian yang terlibat.

Dia berkata perkara itu akan diberitahu di mahkamah esok, apabila perbicaraan bersambung semula pada pukul 9.30 pagi.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi kandungan laporan akhir sebelum dibentangkan ke Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat untuk melakukan pindaan itu.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, dan denda RM10,000 atau tidak kurang lima kali nilai suapan, yang mana tinggi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS