Paling Popular
Terkini

Semua parti yang membentuk Perikatan Nasional (PN) perlu melakukan pengorbanan dalam menjayakan kerjasama gabungan itu, kata Setiausaha PAS Kelantan Che Abdullah Mat Nawi.

Beliau yang juga anggota Parlimen Tumpat berkata, sebarang penyatuan atau muafakat memerlukan semua pihak membuat pengorbanan.

"Macam kita berkahwin jugalah, kalau kita biasa duduk seorang sebilik, apabila berkahwin orang lain akan kongsi bilik kita. Katil kita biasa tidur seorang, bila berkahwin akan ada orang lain tidur atas katil kita.

"Apabila bersama untuk kita dapatkan (sesuatu) yang lebih lagi, ia kena ada pengorbanan. Perlu memberi dan menerima," katanya kepada media ketika ditemui di Kota Bharu, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Saiful Wan Jan yang berpendapat PN berpotensi menjadi lebih stabil berbanding Pakatan Harapan (PH) dan lebih baik daripada Barisan Nasional (BN).

Menurut Wan Saiful, untuk mencapai kestabilan itu, Umno perlu banyak berkorban dan tidak lagi boleh mendominasi gabungan itu seperti yang mereka lakukan dalam BN.

Langkah berkenaan, katanya akan membolehkan PN dibentuk dengan lebih baik berbanding gabungan politik yang ada sebelum ini.

"Ada sebilangan kecil tokoh Umno yang kelihatan tidak selesa dan ini memang tidak pelik. Ini kerana dalam BN mereka adalah parti dominan tetapi dalam PN mereka akan hilang status dominan itu.

"Kesaksamaan dalam PN akan menjadikan ia lebih baik daripada BN. Tetapi sekarang ini, bagi saya, Umno perlu diberi masa dan ruang untuk menguruskan transisi," katanya.

Sementara itu Che Abdullah yang juga anggota Jawatankuasa Pusat PAS berkata, apa yang penting pada masa ini adalah rakyat mahu melihat kestabilan politik negara dan memperkuatkan kerajaan yang ada.

"Jadi sebarang usaha yang boleh melemahkan kerajaan hari ini sangat tidak disukai rakyat. Pemimpin-pemimpin politik sama ada di pihak pembangkang atau kerajaan mesti bekerja ke aras kestabilan politik, memperkuatkan kerajaan yang ada.

"Selagi ada usaha nak tukar kerajaan seminggu sekali jadi tak stabil politik negara. Rakyat pun mahu begitu (kestabilan politik). Justeri kita harap pemimpin menghormati perasaan rakyat," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS