Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemegang saham PNB diminta tidak bimbang perubahan teraju

Pemegang saham Permodalan Nasional Bhd (PNB) digesa untuk tidak bimbang mengenai perubahan teraju di dana institusi itu berikutan ia telah mencapai standard profesionalisme yang tinggi hingga kini.

Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School (PBS) berkata pasukan pengurusan PNB pada masa ini adalah berkebolehan dalam memastikan kemampanannya dan sumbangan PNB kepada pemegang saham dan negara yang berterusan pada masa depan.

Katanya beliau yakin Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan (PGCE) yang baharu akan memberikan kestabilan yang lebih baik kepada syarikat berikutan negara masih pulih daripada kelembapan ekonomi berikutan pandemik COVID-19.

“Sebagai antara syarikat pengurusan dana yang terbesar di Malaysia, kepimpinan yang kukuh daripada atasan perlu untuk melaksanakan strategi pelaburan syarikat untuk tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai peletakan jawatan Abdul Jalil Abdul Rasheed sebagai PGCE PNB berkuat kuasa hari ini.

Berita mengenai PGCE termuda PNB dijangka meninggalkan PNB telah tersebar dalam pasaran sejak akhir minggu lepas, dengan mesyuarat Lembaga Pengarah PNB dijangka diadakan untuk membincangkan perkara itu.

Laporan berita memetik sumber sebagai berkata antara alasannya ialah berkaitan isu-isu berhubung pelantikan Jalil sebagai PGCE pada Oktober lepas.

Dalam kenyataan hari ini, PNB mengesahkan bahawa ia telah menerima peletakan jawatan Abdul Jalil sebagai PGCE syarikat itu.

Dalam pada itu, Ahmad Zulqarnain Onn, yang kini merupakan Timbalan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad disebut-sebut akan dilantik untuk jawatan tersebut.

Kira-kira sebulan lepas, Ahmed Razman berkata PNB telah melancarkan pelan strategik terkininya untuk tahun 2020-2022 dinamakan 'Fokus 4' yang menggariskan kepelbagaian, penciptaan nilai, pengurusan risiko dan transformasi organisasi selain bersedia untuk cabaran masa depan dan landskap pasaran yang berkembang.

“Oleh itu, mana-mana pengganti kepada PGCE hanya perlu memastikan bahawa pelan strategik ini diteruskan dan dilaksanakan tanpa perlu mempunyai yang baharu.

“Jika PGCE yang baharu dilantik daripada pengurusan atasan PNB, ia akan memberikan kestabilan yang lebih baik kepada organisasi, apa yang diperlukan dalam tempoh tidak menentu ini," katanya.

Dalam laporan berita berasingan, wartawan veteran Datuk A. Kadir Jasin mendakwa Jalil telah diminta ‘berundur’ atas alasan kekeliruan tentang kelayakan akademiknya.

Jalil menggantikan Datuk Abdul Rahman Ahmad sebagai PGCE PNB pada Oktober tahun lepas.

Dalam kenyataan mengumumkan pelantikan Jalil, PNB berkata langkah itu sejajar dengan ‘hasrat kerajaan untuk memanfaatkan bakat Malaysia yang bekerja di luar negara dan ia juga seiring dengan inisiatif strategik PNB untuk mempelbagaikan aset di peringkat global’.

Sementara itu, dalam notanya hari ini, Jalil mengucapkan terima kasih kepada pasukan kepimpinan PNB kerana menyokong inisiatifnya.

“Saya telah berusaha untuk menjadi inklusif dan memperluaskan proses membuat keputusan. Saya meminta maaf kerana saya tidak dapat melihatnya dengan anda hingga akhir. Teruskan inisiatif anda dan berikan PGCE yang baharu sokongan yang sama yang anda berikan kepada saya,” tulisnya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS