Bekas presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Perbadanan Nasional Berhad (PNB), Abdul Jalil Rasheed berkata beliau memilih "jalan sukar" untuk melepaskan jawatan, sambil pada masa sama perlu berperang dengan hati nuraninya sendiri.
Beliau berkata demikian semasa sesi townhall dengan kakitangan PNB bagi menjelaskan peletakan jawatannya hari ini.
Salinan ucapan itu turut dihantar melalui e-mel kepada kakitangan PNB.
"Ketika saya mengambil peranan ini, saya mengatakan pada diri sendiri bahawa saya tidak akan pernah goyah dalam prinsip saya dalam menjalankan tugas.
"Sering kali, membuat keputusan yang tepat dibebani kesulitan dan sebahagiannya tidak popular.
"Jalan yang mudah adalah dengan terus menikmati keistimewaan di pejabat, sambil berperang dengan hati nurani kamu sendiri.
"Saya selalu percaya bahawa tidak ada individu yang lebih besar daripada institusi. Saya tidak berniat menyeret PNB dalam (isu) ini.
"PNB mesti dilindungi dengan segala cara. Oleh itu, saya telah memilih jalan yang sukar, sendirian, yang menghancurkan saya dan keluarga," katanya tanpa mengulas lanjut.
Dalam ucapannya, Abdul Jalil turut mendedahkan bahawa beliau menghadapi gangguan semasa memegang jawatan sebagai CEO dan presiden kumpulan PNB.
"Paling keterlaluan bagi saya adalah gangguan yang harus saya alami akibat panggilan dari nombor yang tidak dikenali, akaun e-mel korporat saya dan profil LinkedIn saya digodam.
"Ini membuatkan saya semakin bimbang tentang kesejahteraan keluarga saya.
"Pada akhirnya, saya memutuskan bahawa tidak adil bagi keluarga saya sekiranya masalah ini berterusan.
"Keluarga saya membuat pengorbanan yang besar, juga dari segi kewangan untuk berpindah kembali ke KL dari Singapura kerana saya benar-benar ingin menyumbang kepada pembangunan negara.
"Saya kecewa ini harus berakhir secara tiba-tiba," katanya.
Bagaimanapun, Abdul Jalil, dalam ucapan perpisahannya, mengatakan beliau tidak menyesali keputusannya menyertai PNB.
"Sembilan bulan kebelakangan ini merupakan penghargaan kepada saya. Saya belajar banyak dan berpeluang mengenali anda semua dengan lebih baik.
"Anda semua telah menyambut, menunjukkan saya keramahan yang hebat dan dedikasi dan keinginan yang tulus untuk menjadikan PNB tempat yang lebih baik," katanya.
PNB, dalam satu kenyataan dua jam selepas sesi townhall berkenaan, mengesahkan peletakan jawatan Abdul Jalil.
Lembaga pengarah PNB dikatakan menerima pengunduran Abdul Jalil dan menyampaikan penghargaan atas kepemimpinan dan sumbangan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
"Lembaga pengarah juga telah meluluskan pelantikan pengganti, dan pengumuman akan dibuat setelah menerima peraturan kelulusan yang diperlukan," katanya.
'Berenang dengan jerung'
Sementara itu, anggota Majlis Tertinggi Bersatu, A Kadir Jasin mendakwa ada usaha daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menjadikan PNB sebagai "gravy train" (buat duit dengan usaha sedikit).
Beliau mendakwa ada usahawan bumiputera tertentu melobi kerajaan untuk memecat Abdul Jalil supaya mereka dapat memanfaatkan PNB demi keuntungan peribadi.
"Namun saya masih ada sedikit keyakinan bahawa masih ada sebilangan kecil melayu profesional yang tidak sanggup menjadi tali barut kepada pencuri dan penyangak kerana di sanubadi mereka tersemat nilai murni untuk melakukan kebaikan kepada negara dan rakyat jelata," katanya dalam catatan di blognya.
Sementara itu, portal perniagaan Focus Malaysia melaporkan Stephen Hagger, ketua firma pelaburan Malaysia, Credit Suisse Securities, mengirim nota kepada pelabur mengenai peletakan jawatan Abdul Jalil dengan judul "Politics: Eaten by the sharks" (Politik: Dimakan oleh jerung).
Hagger berkata Abdul Jalil "tahu betul dan salah, tidak takut dan memahami pasaran" tetapi "berenang bersama ikan Yu".
FocusMalaysia, memetik nota Hagger kepada para pelabur, mengatakan Jalil "melakukan perkara yang sangat jarang berlaku di Malaysia dan ia adalah mengundurkan diri untuk melindungi prinsip sendiri dan menjaga integriti".
"Sebelum memulakan, beliau memberitahu dengan jelas bahawa beliau akan mengundurkan diri daripada melintasi garis merah," tambah Hagger.
Hagger mengatakan tidak jelas apakah garis merah itu, tetapi kemungkinan ia berkaitan dengan penolakannya untuk memberikan "pekerjaan pendapatan sampingan" kepada ahli politik dan menutup mata terhadap penyelewengan.
Semalam menyaksikan pengunduran pemimpin korporat yang dilantik semasa kerajaan Pakatan Harapan, iaitu presiden dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Petronas, Wan Zulkiflee Wan Ariddin.
The Edge melaporkan pengunduran diri Zulkiflee mungkin terkait dengan keberatannya terhadap rancangan kerajaan PN untuk mengubah undang-undang berkaitan minyak bagi mendapat sokongan dari Malaysia Timur, seterusnya meningkatkan majoriti di Dewan Rakyat.
Zulkiflee, dalam ucapan perpisahannya, menggesa rakan-rakannya untuk selalu mematuhi prinsip mereka.