Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ujian Covid-19 percuma hanya untuk kumpulan tertentu - Noor Hisham

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan bahawa pihaknya hanya menawarkan ujian Covid-19 percuma untuk kumpulan tertentu.

Jelas Noor Hisham, kumpulan yang memenuhi syarat untuk ujian percuma termasuk mereka yang merupakan pesakit dalam siasatan (PUI), mereka yang mempunyai penyakit pernafasan akut yang teruk (Sari), rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara dan kontak rapat dengan kes positif Covid-19.

"Sekiranya datang ke klinik kami untuk ujian, kami tidak akan melakukannya kecuali mereka termasuk dalam kategori tertentu.

"Jika kita membuka (ujian) untuk semua orang, saya rasa semua orang akan datang ke kementerian untuk diuji.

“Oleh itu, kami mempunyai kriteria untuk menjalankan ujian. Namun, bagi individu yang tidak berada di bawah kriteria tersebut ... mereka boleh mengikuti ujian di makmal swasta.

"Kami menggalakkan mereka untuk melakukan ujian di makmal swasta dan bukan di makmal kementerian," kata Noor Hisham.

Mengulas isu lain, Noor Hisham menasihatkan orang ramai untuk menghubungi pejabat kesihatan daerah jika mereka curiga ada individu yang mengunjungi rumah mereka yang mengaku sebagai pegawai Kementerian Kesihatan.

Ia susulan mesej dan gambar yang tular di media sosial mengenai dakwaan berlaku penipuan melibatkan individu yang mengaku sebagai pegawai Kementerian Kesihatan tiba dengan van kementerian dengan alasan melakukan ujian dari pintu ke pintu.

“Penghuni rumah harus berhati-hati dan berwaspada. Sekiranya mereka mengesyaki atau tidak pasti ada pegawai yang datang ke rumah mereka, mereka boleh menghubungi pejabat kesihatan daerah atau polis,” kata Noor Hisham.

Sementara itu, Noor Hisham berkata kakitangan Kementerian Kesihatan harus memakai pakaian seragam dan membawa kad kuasa mereka ketika bertugas di luar.

Jelas Noor Hisham lagi, pegawai Kementerian Kesihatan selalunya akan tiba di kawasan perumahan dalam kes seperti pemeriksaan pesakit dalam siasatan (PUI) yang dikuarantin di rumah atau untuk memberi rawatan selepas bersalin untuk ibu dan bayi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS