Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Saya tak diberitahu pelantikan Paulsen, kata timbalan menteri

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin berkata tiada perbincangan dengan pihaknya dibuat sebelum peguam Eric Paulsen dilantik menganggotai Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM).

Menjelaskan hal itu kepada Malaysiakini petang tadi, Zahidi berkata Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah tidak membincangkan hal itu sebelum mengumumkan pelantikan Paulsen.

"Kita tidak tahu lantikan ini. Timbalan menteri, setiausaha (kementerian) semua tidak dibincang.

"Ini adalah keputusan menteri," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum itu ahli parlimen Padang Besar terbabit diminta mengulas rasa tidak puas hati banyak pihak - termasuk dalam kalangan pemimpin parti Perikatan Nasional - dengan pelantikan Paulsen.

Beberapa pihak mendakwa sikap Paulsen terhadap Islam tidak disenangi selain kenyataan serta pendiriannya berhubung isu LGBT.

Hari ini Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan asas dan rasional pelantikan Paulsen oleh Saifuddin. 

"Jika kepakaran dalam perundangan dan hak asasi manusia menjadi sandaran, Pemuda Umno beranggapan ramai lagi tokoh peguam atau aktivis yang sederhana dan lebih memahami batasan kebebasan bersuara yang menyantuni acuan masyarakat timur bertunjangkan prinsip agama dan budaya boleh menjadi pilihan," katanya.

Menteri kena jawab

Semalam beberapa pemimpin PAS turut menggesa agar Saifuddin membatalkan serta-merta pelantikan Paulsen.

Paulsen yang juga wakil Malaysia dalam Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) adalah seorang daripada 15 anggota MPKM.

Badan itu dipengerusikan Saifuddin sendiri.

Pada 2015 Paulsen didakwa membuat kenyataan bahawa khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) mempromosikan ekstremisme.

Eric Paulsen

Paulsen ketika dihubungi semalam enggan mengulas mengenai perkara tersebut.

No comment. Lebih baik begitu (untuk tidak memberikan komen),” katanya kepada Malaysiakini.

Zahidi berkata sebarang penjelasan berhubung pelantikan Paulesen perlu didapatkan daripada Saifuddin.

"Kita (KKMM atau timbalan menteri) tidak boleh beri penjelasan. Menteri yang perlu jawab," tambah pemimpin Umno itu.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Saifuddin berkaitan gesaan tersebut.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS