Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jangan tunggu hingga Julai untuk bentang RUU Covid-19'
Diterbitkan:  Jun 15, 2020 5:41 PM
Dikemaskini: 9:41 AM

Kerajaan mesti bertindak sekarang untuk menangani masalah dihadapi rakyat dan bukan menunggu sehingga Julai untuk membentangkan rang undang-undang berkaitan Covid-19, kata seorang wakil rakyat PKR Pulau Pinang.

Adun Kebun Bunga, Jason Ong Khan Lee menggesa kerajaan segera campur tangan terutama dalam isu berkaitan tunggakan sewa, kadar faedah yang dikenakan akibat pembayaran lewat, denda akibat pembatalan perjanjian dan notis pengusiran akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Tolong bertindak sekarang untuk melindungi mereka yang terjejas akibat PKP kerana ini adalah keadaan yang tidak terduga, peristiwa luar biasa di luar kawalan, yang telah melumpuhkan seluruh pasaran," kata Ong dalam satu kenyataan.

Ong mengulas RUU Covid-19 yang akan dibentang pada Julai dalam menangani isu terutama tunggakan sewa, penamatan awal perjanjian sewa akibat PKP dan tunggakan hutang.

Difahamkan setakat ini, sebanyak 31 kementerian, jabatan dan agensi telah mengemukakan cadangan untuk dimasukkan dalam RUU Pelaksanaan Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Covid-19.

Bernama sebelum ini memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan sebagai berkata, semua maklumat dan cadangan yang diperolehi akan dianalisis oleh Pasukan Petugas di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dan diperhalusi oleh kementerian berkaitan.

"Setakat 5 Jun, sebanyak 331 cadangan termasuk 35 cadangan bertulis telah diterima melalui pautan dan e-mail yang disediakan," kata Takiyuddin.

Ong berkata, tumpuan harus diberikan kepada peniaga kecil yang menyewa daripada syarikat besar yang menguruskan pusat membeli-belah.

"Saya menerima banyak aduan kerana mereka meminta nasihat saya sebagai peguam dan wakil rakyat," jelasnya.

Beliau berkata, peniaga kecil berkenaan berharap beliau dapat menjadi orang tengah antara pusat membeli belah dan penyewa, namun perkara itu tidak dapat dicapai tanpa sokongan kerajaan.

Tambah beliau, kerajaan harus sedar bahawa masalah ini boleh mengundang keadaan menjadi lebih buruk.

"Ini akan berlaku apabila penyewa muflis, tiada pekerjaan, diusir atau disaman oleh pemilik kerana ingkar pembayaran.

"Kerajaan perlu melihat kepada kebajikan individu ini dan keluarga mereka. Mencegah lebih baik daripada mengubati," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS