Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Warga M'sia di luar negara dinasihat buat ujian swab 3 hari sebelum berlepas
Diterbitkan:  Jun 15, 2020 3:48 PM
Dikemaskini: 7:48 AM

Warga Malaysia yang ingin pulang dari luar negara diminta menjalani ujian swab Covid-19 tiga hari sebelum berlepas, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Ismail berkata ia bagi mengelakkan waktu menunggu yang lama untuk mendapatkan keputusan ujian itu di pintu masuk negara.

"Bagi mengelakkan jangka masa menunggu yang terlalu lama dan sesak, kerajaan setuju membenarkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara untuk membuat saringan Covid-19 sebelum pulang ke Malaysia,

"Mereka perlu membuat ujian saringan Covid-19 tiga hari sebelum pergerakan pulang dan menunjukkan surat pengesahan saringan setibanya di pintu kawalan masuk," katanya ketika sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Bagaimanapun, katanya lagi, mereka tetap perlu menjalani proses kuarantin wajib di rumah masing-masing, dan memuat turun aplikasi MySejahtera dan memakai gelang tangan sepanjang tempoh itu untuk tujuan pemantauan.

Bagi yang tidak menjalani ujian tersebut, mereka perlu melakukannya sebaik tiba di Malaysia, katanya.

Bagaimanapun, jika proses menunggu keputusan memakan masa lebih sehari, Ismail berkata mereka akan ditempatkan di institut latihan awam sementara menunggu keputusan.

Bermula 10 Jun, warga Malaysia dari luar negara dibenarkan untuk menjalani kuarantin secara sendiri di rumah masing-masing, berbanding di pusat kuarantin yang diwartakan kerajaan sebelum ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS