Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
44 kontak rapat pelajar dari Mesir di Kelantan negatif Covid-19

Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mengenal pasti dan mengesahkan seramai 44 kontak rapat empat pelajar dari Mesir di Kelantan yang positif Covid-19, didapati negatif hasil ujian saringan yang dilakukan.

Pengarahnya, Dr Zaini Hussin berkata kesemua kontak rapat berkenaan terdiri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan pelajar terbabit.

"Namun mereka perlu menjalani kuarantin selama dua minggu di kediaman masing-masing walaupun didapati negatif.

"Alhamdulillah kita sudah mengesan kesemua kontak rapat empat pelajar Mesir yang positif Covid-19 sebaik tiba di Kelantan baru-baru ini.

"Kesemua empat pelajar itu masih menjalani rawatan di Hospital Tumpat dan mereka tidak bergelaja sebagaimana pesakit lain," katanya kepada media selepas, mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas yang dipengerusikan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob.

Terdahulu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkam 11 kes import yang mana kesemua kes import ini adalah dari warganegara Malaysia yang pulang dari luar negara dan dikuarantin di Melaka.

Mereka telah disaring untuk sampel kedua pada 9 Jun dan dibenar pulang ke rumah masing-masing untuk menyambung tempoh kuarantin di rumah memandangkan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) berkuatkuasa mulai 10 Jun lalu.

Setelah keputusan sampel didapati positif Covid-19, mereka telah dimasukkan ke dalam wad di hospital termasuk empat pelajar yang pulang ke Kelantan.

Sementara itu Dr Zaini berkata, empat pelajar berkenaan dalam keadaan stabil dan akan dipantau selama dua minggu di hospital.

"Bagi kes mereka, pihak KKM sudah membuat saringan di lapangan terbang sebaik tiba di Malaysia namun negatif.

"Tetapi, ujian saringan kali kedua disahkan positif sebelum empat pelajar berkenaan dihantar ke Hospital Tumpat," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS