Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Zulqarnain disebut-sebut bakal dilantik jadi CEO PNB
Diterbitkan:  Jun 15, 2020 11:56 AM
Dikemaskini: 3:59 AM

Timbalan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Ahmad Zulqarnain Onn, menjadi seorang daripada calon yang dipertimbangkan mengisi jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) jika kerajaan bercadang menggantikan penyandang, Jalil Rasheed.

Hal itu diperkatakan semakin panas apabila ada pihdak mendakwa wujud ura-ura mengetepikan Jalil daripada jawatan kanan di syarikat pengurusan dana kerajaan itu.

Memetik sumber yang tidak dinamakan portal The Edge melaporkan anggota Lembaga Pengarah PNB akan bermesyuarat minggu ini untuk menentukan kedudukan Jalil.

Jalil - yang turut bertugas sebagai presiden PNB - dilantik ke jawatan tersebut oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Dia (Zulqarnain) merupakan calon pilihan. Dia berpengalaman dan memahami landskap tempatan dengan baik," kata sumber tersebut.

Jalil, 38, merupakan tokoh termuda dilantik sebagai CEO dalam sejarah PNB setakat ini dan mula bertugas pada Okt tahun lalu.

Semalam Astro Awani melaporkan Yayasan Pelaburan Bumiputra yang menjadi salah satu anak syarikat PNB dijangka bermesyuarat hari ini untuk membincangkan kedudukan Jalil.

Ahli Lembaga Pengarah PNB pula dijadual bertemu pada 17 Jun ini.

YPB dianggotai Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Pengerusi PNB Dr Zeti Akhtar Aziz dan bekas ketua audit negara, Ambrin Buang.

Sesetengah pihak mendakwa wujud keraguan berkaitan kelayakan akademik Jalil.

Wartawan veteran dan bekas penasihat media perdana menteri, A Kadir Jasin semalam mendakwa kerajaan Perikatan Nasional menggunakan isu itu untuk mengetepikan Jalil.

"Alasan mereka (untuk menyingkirkan Jalil) ialah kelayakan akademik yang bagi sesetengah pihak berkuasa berpendapat ia adalah isu pentafsiran.

“Jalil sebelum ini membongkar kekotoran era BN, termasuk perjanjian yang tidak menguntungkan PNB dan pemegang saham bumiputera," tulisnya.

[Baca berita penuh]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS