Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hakim tolak tangguh perbicaraan Najib susulan afidavit bekas AG

KES PINDA AUDIT 1MDB | Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan kes pindaan laporan audit laporan 1MDB terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

Permohonan itu susulan afidavit yang difailkan oleh bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali yang mendakwa pendakwaraya khas, Gopal Sri Ram pernah cuba memujuknya untuk menangkap Najib.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah yang memfailkan permohonan untuk menyingkirkan Sri Ram daripada pasukan pendakwaan berdasarkan afidavit itu, berkata perkara itu perlu didengar sebelum perbicaraan boleh diteruskan.

"Kami ada afidavit oleh bekas peguam negara. Berdasarkan asas dan andaian ini, (jika) ia benar, maka ia menjadi penting dan isu kelayakan (perlu) diputuskan segera.

"Mana-mana pendakwa yang terlibat dalam perkara seperti itu tidak menjadi pihak (dalam perbicaraan), tidak boleh jadi bebas dan perlu dikeluarkan.

"Apa yang jauh lebih penting ialah jika mahkamah teruskan perbicaraan, ia bermakna seolah-olah permohonan yang dibuat tidak wujud atau diremehkan.

"Permohonan ini serius untuk awam...Tetapi mahkamah diteruskan seolah-olah ia tidak penting apabila orang awam fikir ia tidak remeh. Perkara ini perlu didengar dahulu," katanya ketika prosiding hari ini.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan berkata permohonan itu antara lain tidak melibatkan penyingkiran seorang hakim.

"Penyingkiran dan penghinaan mahkamah perlu dibuang dahulu (disposed of) tetapi say tidak lihat perkara seumpama itu terpakai di sini," katanya.

Zaini kemudian memutuskan perbicaraan akan diteruskan esok. Bagaimanapun beliau memberikan penangguhan selama satu hari.

Ia selepas Shafee membangkitkan satu perkara lain, iaitu seorang peguam dalam pasukannya menunjukkan gejala demam panas dan batuk dan menjalani ujian Covid-19 sebagai langkah berjaga-jaga.

Shafee berkata keputusan ujian akan diketahui dalam tempoh 24 jam.

Terdahulu ketika prosiding itu, Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa permohonan penyingkiran tidak akan memberi kesan kepada perbicaraan yang sedang berjalan.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu berkata, ada kira-kira empat saksi pendakwaan yang belum diperiksa balas oleh pasukan pembelaan.

"Kami minta prosiding diteruskan bermula esok," katanya yang berkata ia membolehkan pemeriksa balas dibuat dalam masa beberapa hari setelah perbicaraan bersambung.

Tujuh saksi pendakwaan telah memberi keterangan setakat ini, termasuk bekas ketua audit Ambrin Buang dan bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan ke Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat untuk melakukan pindaan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS