KES PINDA AUDIT 1MDB | Perbicaraan kes pindaan laporan audit 1MDB terhadap bekas perdana menteri Najib Razak telah ditangguh ke esok selepas Muhammad Shafee Abdullah memamklumkan seorang peguam dalam pasukannya telah menjalani ujian Covid-19.
Shafee berkata peguam Rahmat Hazlan "kurang sihat" dan menjalani ujian itu sebagai langkah berjaga-jaga.
"Pagi ini, antara pukul empat hingga lima pagi, saya terima pesanan teks bahawa dia tidak boleh hadir hari ni.
"Dia ada demam panas dan batuk. Saya segera menghantar pesanan teks kepadanya dan mengaturkan agar doktor berjumpanya pagi ini, dan untuk dia diperiksa," katanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Shafee berkata keputusan ujian akan diketahui dalam tempoh 24 jam.
"Pada pukul 10 pagi esok, kita sepatutnya akan tahu keputusannya," katanya lagi.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohamad Zaini Mazlan kemudian bertanya sama ada Shafee memohon untuk perbicaraan ditangguh sehingga esok sementara menunggu keputusan ujian Rahmat, dan Shafee bersetuju.
Satu lagi perbicaraan terhadap Najib, berhubung dakwaan rasuah berjumlah RM2.28 bilion, turut ditangguhkan ekoran risiko Covid-19.
Ia selepas pasukan peguamnya terdedah secara sekunder terhadap seorang pesakit Covid-19 dan menjalani kuarantin sebagai langkah berjaga-jaga.
Ketika perbicaraan pada 16 Januari lalu, saksi pendakwaan Sadaatul Nafisah Bashir Ahmad, pegawai Jabatan Audit Negara (JAN) yang telah bersara, berkata bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy berjanji untuk memberikan semua maklumat berkenaan audit, tetapi jabatan menunggunya selama berbulan-bulan.
Tujuh saksi pendakwaan telah memberi keterangan setakat ini, termasuk bekas ketua audit Ambrin Buang dan bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa.
Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan ke Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.
Arul Kanda pula didakwa bersubahat untuk melakukan pindaan itu.