mk-logo
Berita
Dr M: Biden lebih 'masuk akal', pilih semula Trump akan jadi 'bencana'
Diterbitkan:  Jun 14, 2020 6:12 PM
Dikemaskini: 10:12 AM

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad menginginkan Joe Biden memenangi pilihan raya presiden AS yang akan datang dan percaya sekiranya Donald Trump dipilih semula, ia akan menjadi suatu "bencana".

Dalam temu bual dengan SCMP, Mahathir berkata Trump gemar "berperang" dengan rakyatnya sendiri dan seluruh dunia.

Mahathir merujuk sikap awal Trump terhadap wabak Covid-19, penggunaan tentera terhadap penunjuk perasaan, sekatan terhadap Iran, konfrontasi dengan Eropah dan China serta pemecatan kakitangan Rumah Putih sebagai contoh.

"Dia memecat semua kakitangannya yang bukan bersamanya. Ini kedengaran seperti negara dunia ketiga.

"Di Malaysia, mungkin kita lakukan itu. (Sekiranya) kita tidak suka dia, kita pecat dia," kata Mahathir sambil tersenyum sinis.

"(Tetapi) Amerika - negara demokratik yang hebat di dunia. Sangat liberal, bertoleransi dan perkara-perkara seperti itu. (Namun,) dia memecat begitu banyak kakitangannya," katanya.

Biden lebih 'masuk akal'

Mahathir berkata beliau menyokong Biden kerana pemimpin berkenaan kedengaran lebih "masuk akal".

"Sekurang-kurangnya dia memberi respons terhadap kes George Floyd dengan cara yang wajar (dan) dia memiliki sokongan beberapa anggota kongres (yang memprotes sikap perkauman), tetapi bukan Trump.

"Trump menggunakan tentera untuk menentang (penunjuk perasaan)," katanya.

Tidak seperti Trump, Mahathir tidak percaya China menyembunyikan maklumat mengenai penyebaran Covid-19.

Mahathir, yang merupakan seorang doktor perubatan sebelum terjun ke bidang politik, berkata China memerlukan masa untuk menyiasat perkara itu sebelum mengumumkannya kepada dunia.

"Sekiranya perkara ini berlaku di Malaysia, dan kita dapati seseorang menderita penyakit aneh, kita tidak pergi ke bandar dan mengatakan 'Oh, ada penyakit aneh di sini!'

"(Orang Cina) diancam oleh (koronavirus). Mereka harus selidik terlebih dahulu, dan ketika mereka menyelidiki pada tahap itu, mereka tidak sedar hal itu akan mengakibatkan wabak," katanya.

Beliau berkata usaha China dan Malaysia membendung penyebaran Covid-19 berjaya kerana warganegara di negara-negara ini secara umumnya "patuh kepada undang-undang" dan berdisiplin.

"Di Amerika, mereka berbicara tentang kebebasan. Anda tidak boleh beritahu saya untuk tidak keluar dari rumah saya. Itulah kebebasan saya. Ini selalunya mengenai kebebasan.

"Itu mengakibatkan 1.7 juta orang Amerika dijangkiti dan 100,000 kematian kerana kebebasan seperti ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS