Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS mahu kerajaan gantikan Eric Paulsen dengan orang lain
Diterbitkan:  Jun 14, 2020 3:02 PM
Dikemaskini: 7:04 AM

PAS hari ini secara rasmi meminta Kementerian Komunikasi dan Multimedia membatalkan pelantikan Eric Paulsen sebagai salah seorang anggota dalam badan yang diselenggara kementerian berkenaan.

Ketua Penerangan Pusat PAS, Kamaruzaman Mohamad, berkata PAS begitu terkejut dengan pelantikan Paulsen sebagai salah seorang ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM).

Hal itu kerana, katanya, Paulsen merupakan peguam yang terkenal dengan sikap dan pandangan yang sangat sinis terhadap Islam serta perkara-perkara berkaitan hal ehwal Islam.

"Sikap dan tindakan beliau sangat jelas bertentangan dengan roh dan semangat Perlembagaan Persekutuan.

"Bagaimana mungkin seorang yang begitu jelas menentang semangat Perlembagaan Persekutuan mampu memberikan input positif selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan?

"Sehingga kini Eric Paulsen masih belum kendur sentimen negatifnya terhadap Islam," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kamaruzaman yang baru-baru ini dilantik sebagai pengerusi Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) berkata pelantikan Paulsen itu wajar ditarik balik dan jawatan berkenaan diisi oleh individu lain yang lebih sesuai.

Terdahulu, Paulsen yang juga Wakil Malaysia dalam Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) antara 15 ahli MPKM yang dipengerusi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah.

Bantahan terhadap pelantikan itu turut disuarakan oleh anggota parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Sementara itu Kamaruzaman berkata, PAS juga bersedia untuk berjumpa dan berbincang dengan menteri Komunikasi dan Multimedia untuk mencari penyelesaian terbaik dalam isu ini demi kesejahteraan negara dibawah semangat kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"PAS menyambut baik penubuhan Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang bertujuan untuk merangka dasar komunikasi dan multimedia yang berkesan.

"PAS mendukung penuh sebarang usaha dan tindakan murni semua pihak yang selaras dengan kerangka dan asas Perlembagaan Persekutuan," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS