Papan tanda jalan di Penny Lane di Liverpool, yang diabadikan oleh kumpulan muzik terkenal The Beatles sekitar 1967 disembur dengan grafiti ekoran kempen antiperkauman yang bermula di AS baru-baru ini.
Menurut Laporan AFP, empat papan tanda di laluan berkenaan dicemari dengan semburan cat hitam sehingga menutupi tulisan yang ada.
Perkataan "racist" juga disembur pada dinding salah satu papan tanda berkenaan.
Penny Lane ialah kawasan yang terletak di barat laut England dan menjadi terkenal kerana The Beatles pernah menghasilkan sebuah lagu dengan judul yang sama pada 1967.
Paul McCartney - salah seorang anggota kumpulan legenda itu - pula menurunkan tandatangannya pada salah satu papan tanda tersebut ketika dia mengunjungi kawasan berkenaan pada 2018.
Ia menjadi sasaran kemarahan ketika ini kerana didakwa mengabadikan nama seorang pedagang hamba abdi, James Penny, yang membawa penduduk kulit hitam dari Afrika ke England untuk dijual.
Datuk Bandar Liverpool, Joe Anderson, awal minggu ini menafikan jalan tersebut dinamakan sempena pedagang hamba abdi berkenaan.
Roboh patung pedagang hamba
Bagaimanapun Muzium Perhambaan Antarabangsa di bandaraya itu masih menjalankan kajian untuk meneliti asal-usul nama pada laluan tersebut.
"Terdapat beberapa perdebatan mengenai apakah Penny Lane diberi sempena nama James Penny, tetapi buktinya tidak konklusif.
"Ini adalah subjek yang sangat penting bagi muzium dan bandar Liverpool, dan kami ingin mendorong orang ramai untuk berkongsi bukti dan penyelidikan mengenai topik ini jika ada," kata jurucakap muzium itu.
Penduduk setempat kemudian membersihkan grafiti berkenaan.
Sementara itu dalam perkembangan yang disyaki berkaitan, sebuah patung mengabadikan penyair, penulis drama dan pelakon dari Jamaica, Alfred Fagon dimusnahkan, lapor BBC.
Patung berkenaan dibina di Bristol.
Fagon adalah tokoh kulit hitam pertama yang dibina patung untuknya di Bristol. Bandar raya itu sebelum ini menyaksikan penunjuk perasaan meroboh dan membuang patung Edward Colston minggu lalu.
Colston adalah seorang lagi pedagang hamba abdi Inggeris yang diberi penghormatan apabila patung peringatan dibina untuknya.