Peletakan jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) Petronas, Wan Zulkiflee Wan Ariffin dikaitkan dengan rancangan untuk meminda Akta Pembangunan Petroluem, lapor The Edge.
Sumber-sumber dipetik berkata bahawa Wan Zulkiflee didakwa menentang rancangan untuk meminda undang-undang tersebut.
"Dia tidak menginginkannya (pindaan pada akta itu) terjadi di bawah pengawasannya," kata seorang eksekutif yang tidak dinamakan.
Tidak jelas pindaan yang akan dibuat pada akta itu, namun akhbar perniagaan mingguan itu mengspekulasikan bahawa ia menguntungkan Sabah dan Sarawak, dua negeri yang mendapat royalti minyak hanya 5 peratus walaupun menyumbang 60 peratus daripada hasil minyak dan gas.
Dengan menjadikan akta itu lebih menguntungkan kepada Sabah dan Sarawak, kerajaan Perikatan Nasional, katanya, dapat berusaha untuk menarik parti Warisan di Sabah menjauhkan diri dari Pakatan Harapan.
Dalam kes seperti ini, ia juga mungkin dapat mengekalkan sokongan GPS Sarawak, yang mempunyai 18 kerusi Parlimen.
Spekulasi timbul bahawa Pakatan Harapan sedang berusaha untuk mendapatkan sokongan GPS bagi mendapatkan majoriti yang cukup kuat untuk merebut kembali kuasa kerajaan persekutuan.
Peletakan jawatan Wan Zulkiflee dari Petronas diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin minggu lalu.
Dia akan berpindah ke Malaysia Airlines di mana dia akan menjadi pengerusi.
The Edge mengatakan bahawa perpindahan ke MAS mungkin atas permintaan Wan Zulkiflee sendiri.
Dia akan digantikan oleh ketua pegawai kewangan Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.