Paling Popular
Terkini

EKSKLUSIF | Umno dan PAS telah meniup sentimen perkauman sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hilang dokongan akar umbi orang Melayu, kata Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu berkata beliau amat menentang sentimen perkauman dan tindakan sebegitu bertentangan dengan ajaran Islam, namun malangnya "pak lebai" tidak menegur perbuatan itu.

Anwar berkata, meskipun sukar untuk mengungkapkan tetapi hakikatnya sentimen ataupun hasutan berbaur perkauman semakin meningkat.

"Seperti andaian ramai, kerana sentimen ini dihasut oleh parti-parti politik, khususnya Umno dan PAS. Untuk saya jelaskan, benar hasutan ni meningkat.

"Walaupun saya sebagai seorang muslim, berasa sukar untuk menelan, kerana sebagai seorang muslim untuk menerima sikap perkauman sempit itu.

"Bertentangan dengan keyakinan saya sebagai seorang muslim yang mesti adil, mesti bersifat kemanusiaan. Tidak boleh menindas, atau menghina kaum atau menghina agama," katanya ketika wawancara eksklusif bersama Malaysiakini.

Rasullah SAW larang hina bangsa lain

Anwar berkata demikian ketika ditanya mengenai kemarahan orang Melayu selama dua tahun terhadap pentadbiran PH sehingga hilangnya dokongan orang Melayu kepada pakatan itu.

Untuk rekod, PAS dan Umno mengepalai bantahan secara besar-besaran terhadap usaha kerajaan PH untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Ia membawa kepada satu perhimpunan aman secara besar-besaran terhadap kerajaan di ibu negara sebagai manifestasi bantahan terhadap usaha meratifikasi Icerd.

Umno dan PAS mendakwa usaha kerajaan untuk meratifikasi Icerd adalah sebagai langkah yang akan menggugat kedudukan Islam, raja-raja dan juga hak orang Melayu.

Selain itu, Umno dan PAS juga turut "menyerang" DAP sebagai parti yang anti kepada Melayu dan Islam di negara ini.

Memetik kisah para sahabat Rasulullah SAW, Anwar berkata baginda melarang menghina bangsa lain yang bersifat perkauman.

"Tetapi tidak diajar dalam agama kita (Islam) begitu. Bagaimana dalam amalan praktis kita begitu lari dari asas.

"Mana tazkirah kita, ustaz kita, lebai kita, nak menegur ini. Jadi disebabkan itu saya nak sanggah," katanya lagi.

Bagaimanapun, jelas Anwar dalam konteks pentadbiran PH, parti itu harus menerika hakikat bahawa ada kalanya mereka mengeluarkan kenyataan yang melukakan hati orang Melayu.

"Tapi dalam konteks pemerintahan, pentadbiran PH kita harus terima juga kita kadang-kadang cuba berbuat-buat kenyataan yang melukakan perasaan orang Melayu," tambahnya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS