Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hilang pendapatan, tukang urut OKU saling bantu teruskan kehidupan

Sejak bermulanya perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu bagi membendung penularan Covid-19, pengusaha pusat refleksologi dan urut orang kurang upaya antara yang terputus mata pencarian.

Malah di saat kebanyakan industri dan perniagaan telah dibenarkan beroperasi secara berperingkat sejak PKP bersyarat bermula 4 Mei lalu, mereka masih dibelenggu masalah yang sama.

Salah seorangnya ialah Izadin Abdul Razak, seorang OKU cacat penglihatan yang kini terpaksa bergantung kepada bantuan kewangan keluarga dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), selain melakukan jualan kecil-kecilan.

“PKP ni memang kita tak ada pendapatan sangat. Jadi terpaksa bergantung kepada keluarga - adik-beradik saya, sebab isteri pun tak kerja," kata bapa berusia 57 tahun itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Hilang penglihatan sejak 15 tahun lalu, Izadin sebelum ini bekerja di bahagian pentadbiran sebuah syarikat swasta. Isterinya pula pernah menjadi jurutera, sebelum menjadi guru tusyen Matematik dan Bahasa Inggeris apabila ditamatkan kontrak beberapa tahun lalu.

Katanya, pelaksanaan PKP juga menghalang isterinya meneruskan kelas tusyen.

"Dia punya pendapatan terhenti, saya punya pendapatan pun terhenti.

“Nasib baik sewa bulanan (kedai) dapat 50 peratus dalam RM1,000. Jadi nak bayar macam mana? Bayar sajalah apa yang kita ada,” katanya lagi, yang memaklumkan ada juga pelanggannya yang memberi bantuan.

Ditanya jika dia pernah cuba mencari kerja lain sewaktu PKP, Izadin berkata kalangan OKU penglihatan lebih sukar mencari pekerjaan lain berbanding OKU lain.

“Untuk OKU penglihatan susah sikit. Kalau orang OKU lain, dia ada mata, senang sikit nak buat kerja."

Untuk mencari pendapatan alternatif, dia dan isteri menjual sabun aromaterapi secara dalam talian serta menjual bubur lambuk dan karipap kepada penduduk di apartmen mereka.

Sekeluarga cari jalan sara hidup

Untuk rekod, perkhidmatan gunting rambut dan salun kecantikan - yang juga melibatkan jarak dekat dan sentuhan antara pemberi khidmat dan pelanggan - dibenarkan dibuka semula bermula sejak 10 Jun susulan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Pada hari sama, senator yang mewakili OKU Ras Adiba Radzi meminta kerajaan agar mempertimbang keputusan untuk membenarkan operator perkhidmatan urut dan refleksologi di kalangan OKU menyambung semula operasi.

Pengerusi Persatuan OKU Sentral itu berkata, perkhidmatan rawatan urut refleksologi yang banyak disertai oleh golongan OKU penglihatan sebagai juruterapi masih tidak dibenarkan atas alasan perkhidmatan itu berada dalam kategori “hiburan”.

Turut hilang pendapatan ialah Vijay Anand (gambar, atas) seorang OKU lembam yang berusia 37, yang mengusahakan pusat urut Ayurveda di Sentul, Kuala Lumpur bersama-sama ibunya yang berusia 55 tahun.

Bersama-sama bapanya yang telah bersara dan adik lelaki yang baru tamat kontrak di sektor kerajaan, keluarga itu kini melakukan pelbagai kerja demi menyara kehidupan.

Menurut Anand, dia kini berniaga barang urutan seperti minyak dan sabun, manakala ibunya menjual produk 'multi level marketing'.

Dengan pengalaman bekerja di firma guaman, bapanya yang berusia 65 tahun mengambil upah menulis surat pentadbiran mahkamah dan surat yang berkaitan dengan kadar bayaran minimum, manakala adiknya membuat kerja sampingan sementara menunggu kontrak diperbaharui.

“Ia tidak mudah. Pelanggan ibu setakat ini empat orang dan hanya meraih RM300. Keadaan ini merupakan cabaran besar untuk kami.

“Mereka (kerajaan) benarkan rawatan muka, potong rambut yang melibatkan sentuhan, tapi mengapa pusat refleksologi tidak dibenarkan? Ia sama juga seperti potong rambut dan yang lain,” katanya lagi.

Guna wang simpanan

Sementara itu, seorang lagi pengusaha pusat urut OKU, Reza Farish, 40, berkata wang simpanannya untuk tiga bulan telah habis digunakan dan dia kini sedang memikirkan cara untuk menyara kehidupan.

“Ada juga pelanggan yang menderma supaya kita dapat bayar sewa (kedai) atau beri duit untuk bantu kawan-kawan (yang bekerja di pusat urut di situ) untuk kami bertahan, (tapi ia) bukan untuk jangka panjang.

“Kita ingat dah boleh buka macam biasa...jadi sekarang kena fikir macam mana nak bayar sewa,” katanya berkenaan kesukaran itu meskipun mendapat potongan sewa daripada pemilik premis.

Pusat urut Riza mempunyai empat orang tukang urut yang dibayar melalui komisen. Menurut Riza yang merupakan OKU penglihatan, sebelum PKP, rata-ratanya mereka akan dapat tidak kurang RM1,800 atau RM1,900 sebulan.

Selepas tidak dibenarkan beroperasi, mereka yang tinggal di flat Program Perumahan Rakyat (PPR) hilang punca pendapatan dan walaupun mendapat bantuan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), menurut mereka ia tidak mencukupi.

“Saya ada keluarkan simpanan sikit dan dapat sedikit sumbangan daripada pelanggan dengan menghantar barang untuk mereka, macam makanan dan barang keperluan," katanya.

Sehari selepas gesaan Ras Adiba, Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) dalam satu kenyataan turut berharap kerajaan dapat mempertimbang pembukaan semula pusat refleksologi dan urut OKU, serta menyediakan prosedur operasi standard (SOP) untuk perkhidmatan itu secepat mungkin.

Press Conference On the Importance of SOP Development for Blind Massage Therapist in the New Norm As we all are...

Posted by Malaysian Association for the Blind on Khamis, 11 Jun 2020

MAB berkata, mereka sedia membantu untuk mewujudkan panel pakar refleksologi buta dan urut untuk berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam penyediaan SOP, selain bantuan kewangan untuk meringangkan beban pengusaha yang terjejas.

“Kami berharap dapat mewujudkan peluang yang sama bagi masyarakat yang cacat penglihatan untuk menjana pendapatan dalam tempoh yang sukar ini, agar mereka dapat menikmati kualiti hidup yang sama dengan yang celik,” menurut kenyataan tersebut. 

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, SOP untuk pembukaan pusat refleksologi dan urut OKU masih diteliti dan diperkemas, dan dijangka dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara pada minggu depan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS