Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Rayuan pendakwah Wan Ji Wan Hussin terhadap penambahan hukuman penjara berhubung dakwaan mengikut Akta Hasutan pada 2014 akan didengar Mahkamah Rayuan pada 25 Jun ini.

Salah seorang peguamnnya, Harshaan Zamani mengesahkan bahawa rayuan itu akan didengar panel tiga hakim.

"Kes (rayuan) Wan Ji ditetapkan untuk pendengaran pada 25 Jun 2020," katanya kepada Malaysiakini.

Harshaan berkata, tarikh pendengaran pada mulanya ditetapkan pada 10 Februari tetapi Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkannya.

"Kami memohon penangguhan atas dasar kami perlu lebih masa untuk meneliti kes dan menyediakan penghujahan, memandangkan salah satu asas rayuan melibatkan isu perlembagaan," katanya.

Rayuan tersebut terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 Julai lalu, yang menambah hukuman penjara daripada sembilan bulan kepada setahun susulan sabitan terhadap Wan Ji.

Pendakwaan itu berkenaan satu hantaran Facebook berkenaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pendakwaan untuk menambahkan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Shah Alam. Wan Ji mengaku bersalah di mahkamah itu.

Pada masa ini, keputusan Mahkamah Tinggi itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Wan Ji didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan, yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS