Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rais Hussin dilantik jadi pengerusi MDEC
Diterbitkan:  Jun 12, 2020 4:46 PM
Dikemaskini: 10:13 AM

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abddulah hari ini menamakan Rais Hussin Mohamed Ariff sebagai pengerusi baru Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Menerusi satu kenyataan, beliau berkata lantikan itu adalah untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 15 Jun ini.

“Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff seorang usahawan dan berpengalaman luas dalam bidang perniagaan, teknologi maklumat dan komunikasi.

“Saya yakin bahawa beliau akan menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dalam usaha membangunkan ekonomi digital negara,” katanya.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan pemimpin Bersatu itu adalah sebagai individu terbaru dalam senarai pelantikan politik yang semakin bertambah di bawah pentadbiran Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Laman berita perniagaan Focus Malaysia yang memetik sumber menamakan Rais Hussin sebagai pengerusi baru MDEC - sebuah syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) - yang bertanggungjawab menguruskan ekonomi digital.

Rais Hussin menggantikan pemangku ketua MDEC Mathialakan Chelliah, yang yang telah memangku jawatan tersebut selama dua tahun dan juga adalah anggota lembaga pengarah agensi itu.

Focus Malaysia juga melaporkan bahawa pemimpin Bersatu itu akan berjumpa dengan pasukan MDEC pada 15 Jun.

Namun, ketika dihubungi, Rais Hussin, yang adalah antara beberapa pemimpin yang bukan wakil rakyat dilantik untuk mengetuai sesebuah agensi persekutuan, menolak untuk mengulas lanjut.

Dari segi pengalaman profesional, Rais Hussin adalah pengasas dan ketua pegawai eksekutif penyedia perkhidmatan telekomunikasi The Red Snapper (M) Sdn Bhd, dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang berkenaan.

Beliau juga mengasaskan organisasi pemikir Emir Research (M) Sdn Bhd setelah menyertai Bersatu dan adalah antara anggota awal parti dan mengetuai bahagian Klang serta biro strategi Bersatu.

Lulusan Ijazah Kedoktoran dalam Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu pernah mengarang bersama buku berjudul 4IR: AI, Blockchain, Fintech - Reinventing a Nation.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS