Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pesakit tak puas hati caj PPE hampir separuh dari bil
Diterbitkan:  Jun 12, 2020 12:56 PM
Dikemaskini: 4:56 AM

Dua pesakit di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya membangkitkan rasa tidak puas hati berhubung bayaran Peralatan Pelindung Diri (PPE) Covid-19 yang dipakai oleh kakitangan perubatan yang merawatnya.

Laman berita industri kesihatan Code Blue melaporkan pesakit Hospital Assunta itu berkata caj PPE itu berjumlah hampir separuh daripada bil perubatan mereka.

Menurut laporan itu, seorang lelaki warga Malaysia berusia 69 tahun - yang mendapat rawatan radang paru-paru pada 12 Mei - dikenakan bayaran RM500 untuk PPE yang digunakan oleh dua jururawat.

Jumlah itu mewakili 44 peratus daripada jumlah keseluruhan bil yang bernilai RM1,146.65.

Kes kedua dikatakan melibatkan seorang warga asing berusia 38 tahun, Briglia Andrea, yang dikenakan bayaran RM313 atau 49 peratus daripada bilnya yang RM642 untuk PPE pada 7 Jun, ketika menerima jahitan di jari.

Set PPE di hospital terdiri dari apron biru, pelindung muka, pelitup N95, sarung kasut dan sepasang sarung tangan.

Code Blue berkata Hospital Assunta memberitahu mereka bahawa kadar yang dikenakan itu sah.

Dalam kedua-dua kes tersebut, Code Blue melaporkan bahawa caj PPE melebihi setiap item lain dalam bil mereka.

"Ayah saya adalah pesakit di Assunta selama hampir 25 tahun. Ketika saya membayar bil perubatan, ia berjumlah kira-kira RM1,100. Oleh itu, saya melihat ada bayaran PPE sebanyak RM500. Saya bertanya kepada juruwang, 'Apa ini?'

"Dia berkata itu adalah gaun yang dipakai oleh jururawat. Saya bertanya, 'Mengapa kamu tidak memberitahu saya tentang perkara ini?' Sekiranya mereka memberitahu saya, saya akan membawanya ke klinik swasta," kata anak perempuan pesakit lelaki warga Malaysia itu.

Kedua-duanya dilaporkan enggan mendedahkan nama masing-masing.

Seorang pegawai jabatan perhubungan pesakit Hospital Assunta bagaimanapun dilaporkan memberitahu pesakit Malaysia itu melalui e-mel pada 4 Jun bahawa persetujuan lisan mengenai caj PPE bukan keutamaan ketika itu kerana pesakit dirawat segera di Jabatan Kecemasan.

Andrea berkata dia diberitahu mengenai bayaran PPE sebelum dirawat, tetapi kecederaannya tidak memungkinkan peluang untuk mempertimbangkan pilihan lain.

"Pada masa itu, saya tidak mempunyai banyak masa untuk berdebat, kerana saya berdarah [...] Jadi, saya masuk, dan saya menerima rawatan.

"Mereka membuat jahitan jari saya, dan saya membayar bil jumlahnya RM642," katanya kepada Code Blue.

Andrea, bagaimanapun, menolak rawatan lanjutan setelah dia enggan membayar RM300 lagi semasa temu janji susulan pada 9 Jun.

Malaysiakini sudah menghubungi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) Alexander Nanta Linggi berhubung perkara ini dan sedang menunggu maklum balasnya.

Bulan lalu, sebuah hospital swasta didenda RM200,000 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana mengenakan bayaran kepada pesakit sebanyak RM201.60 untuk 18 helai pelitup muka tiga lapis yang digunakan jururawat semasa rawatan.

Harga RM11.20 setiap topeng hampir lapan kali lebih tinggi daripada harga siling kerajaan RM1.50 setiap pelitup.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS