Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kakitangan Malindo fail representasi penamatan kontrak awal
Diterbitkan:  Jun 12, 2020 12:04 PM
Dikemaskini: 4:17 AM

Kira-kira 100 kakitangan Malindo Airways dilapor memfailkan representasi dengan Jabatan Perhubungan Perusahaan berikutan penamatan kontrak awal dan tidak adil ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

Portal The Malaysian Insight (TMI) memetik surat dalaman yang memaklumkan kepada pekerja berhubung penamatan kontrak awal mereka.

Difahamkan ada kalangan mereka yang kontraknya tidak akan tamat sehingga dua tahun lagi.

“Disebabkan wabak Covid-19 yang terus merebak di seluruh dunia tidak terkawal, menjejaskan orang ramai dan perniagaan, syarikat kami terjejas teruk,” menurut surat yang dihantar kepada pekerja yang memaklumkan penamatan kontrak mereka.

Representasi di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 itu dilapor difailkan Jabatan Perhubungan Perusahaan Selangor pada 1 Jun lalu dan syarikat penerbangan itu juga telah dipanggil untuk mesyuarat bagi mencari penyelesaian isu tersebut pada 30 Jun depan.

Pekerja tersebut diwakili oleh Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam).

Presiden Nufam, Ismail Nasaruddin mengatakan berkata mereka menuntut penjelasan mengenai penamatan awal tanpa pampasan.

Ismail berkata ada kalangan mereka yang dimaklumkan kontrak kerja akan berakhir pada hujung Mac oleh Jabatan Sumber Manusia, lebih kurang sebulan daripada tarikh akhir mereka bekerja.

Ini meskipun sebelum ini mereka telah bersetuju untuk bercuti tanpa gaji bagi membantu mengurangkan masalah kewangan syarikat penerbangan yang disebabkan oleh wabak Covid-19, katanya.

“Tambahan pula mereka masih belum dibayar gaji dan elaun penerbangan tertunggak sebelum ini,” katanya sambil menambah ada pekerja yang gaji mereka tertunggak selama tiga bulan sebelum mula bercuti tanpa gaji.

Di bawah Seksyen 20 Akta berkenaan, kakitangan yang dipecat atau menganggap pemecatannya dibuat tanpa sebab atau alasan yang adil boleh memfailkan representasi bertulis kepada ketua pengarah perhubungan perusahaan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh dia dipecat atau dalam tempoh surat pemecatan dikeluarkan sehingga tarikh sebenar dia dipecat.

Difahamkan kakitangan pelbagai jabatan Malindo Air termasuk krew penerbangan terkesan daripada pemecatan itu.

Nufam akan mewakili kakitangan yang diberhentikan pada mesyuarat 30 Jun.

Ismail berkata, jumlah pekerja yang terjejas dijangka meningkat berikutan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) yang baru diumumkan Malindo sebelum ini.

Minggu lalu, satu sumber memberitahu Malaysiakini bahawa tawaran VSS dibuat pada 29 Mei melalui memorandum syarikat kepada semua pekerjanya, yang dianggarkan melibatkan 5,000 kru dan anak kapal.

Dalam memorandum tersebut, pemegang saham majoriti Malindo Air - Lion Group di Indonesia juga menjelaskan kedudukan kewangan yang tidak stabil, apabila terjejas teruk dalam lima bulan terakhir ini, tanpa ada petunjuk bahawa ia akan pulih dalam enam hingga 12 bulan akan datang.

Ia menambah pengurangan pesawat sebanyak 50 peratus menyebabkan syarikat tersebut mempunyai terlalu banyak pekerja.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS