Paling Popular
Terkini

ULASAN | Kami menggesa isu pelarian di semua negara Islam amnya dan di Malaysia khasnya ditangani dengan mengguna prinsip dan pendekatan persaudaraan Islam serta kerangka nilai kemanusiaan sejagat.

Sangat dikesali akibat kejahilan dan sentimen membenci dan berprasangka terhadap pelarian yang memohon pelindungan telah disikapi dengan sangat negatif dan sarat dengan fitnah yang tidak wajar di kalangan segelintir warga masyarakat Islam.

Insiden sepanduk digantung di beberapa lokasi di sebuah perkampungan di sebuah daerah di Johor melarang dan menolak kehadiran komuniti Rohingya ke Masjid dan surau amat tidak wajar, mencemari imej masyarakat Islam setempat dan mencetuskan kebencian kepada satu golongan tanpa mengamalkan prinsip tabayyun iaitu mendapatkan fakta yang benar dan tepat.

Terbaru berlaku kes di negeri Perak, beberapa keluarga komuniti Rohingya diminta keluar dari rumah sewa mereka. Padahal dimaklumkan mereka membayar sewa rumah tersebut. Kami kesal jika ini benar berlaku berpunca sikap kebencian terhadap pelarian Rohingya.

Dalam keadaan wabak Covid-19, komuniti pelarian paling bermasalah menghadapi kehidupan seharian kerana tiada pekerjaan dan tidak boleh bergerak untuk mencari sumber pendapatan. Dalam keadaan kesempitan untuk survival hidup sangat tidak wajar mereka menjadi sasaran diusir dari rumah yang disewa hanya kerana sentimen dan berprasangka buruk ke atas mereka.

Gejala membenci komuniti Rohingya dengan serangan liar melalui media sosial dan gambaran negatif tanpa fakta yang benar adalah tindakan melampau dan tidak harus berlaku dan tidak boleh dibenarkan dalam masyarakat Islam.

Prinsip Islam ialah melindungi kaum yang dizalimi tidak kira agama mahupun bangsa. Apatah lagi mereka yang jelas Muslim. Tanggungjawab masyarakat Muslim adalah membantu dan membela golongan mazlum di mana dan kepada sesiapapun.

Perpaduan Muhajirin-Ansar

Sejarah Islam yang ditampilkan oleh perjuangan Rasulullah SAW adalah menyatukan golongan Muhajirin dan Ansar sehingga menjadi masyarakat Islam contoh dalam tamadun dunia. Tidak timbul Muhajirin membebankan golongan Ansar kerana Rasulullah SAW mengajar prinsip ukhuwah Islamiah mengatasi sentimen qaumiah assabiah yang dilihat berciri jahiliah.

Alasan tidak boleh dan melarang mereka ke rumah Allah kerana mereka pelarian dan orang luar adalah sama sekali bertentangan dengan Islam. Alasan wabak Covid-19 tidak boleh diterima kerana isunya ialah memastikan tidak ada pengunjung masjid dan surau yang positif Covid-19 tidak kira warga negara mahupun bukan warga negara.

Kami menggesa semua ahli agamawan dan ulama serta cendekiawan Islam tampil ke hadapan menyuarakan dan menyedarkan masyarakat terhadap tanggungjawab setiap Muslim dan pemerintah Islam membela golongan yang dizalimi.

Mereka perlu menulis dan berdialog dengan kerajaan bagaimana prinsip Islam perlu diaplikasikan dalam menangani isu pelarian untuk membela golongan tertindas.

Malaysia dilihat antara negara Islam pilihan pelarian dari banyak negara yang berhadapan konflik. Memang ini suatu beban tetapi ini juga suatu hikmah kerana Allah SWT menguji sejauh mana negara Islam menunjukkan nilai persaudaraan yang tinggi kepada saudara seagama.

Sementara usaha diplomatik dan menekan negara yang terlibat menghentikan kezaliman dan peperangan serta sementara mendesak komuniti dunia mengambil inisiatif menangani isu pelarian, kerajaan Malaysia perlu bergabung tenaga dengan semua pihak termasuk NGO, aktivis masyarakat, pemikir Islam, ahli politik serta badan antarabangsa menangani isu pelarian dengan bijak dan strategik.

Walaupun Malaysia tidak menangani Konvensyen Mengenai Pelarian 1951 namun sebagai negara Islam, obligasi yang berkaitan dengan persaudaraan Islam tetap mengikat kebertanggunjawaban negara untuk membantu dan membela mereka yang tertindas.

Kami menggesa kerajaan berdialog dengan golongan agama untuk mencari pendekatan terbaik mengatasi isu ini dari perspektif Islam. Kerangka dasar, fomulasi strategik dan kerjasama antarabangsa perlu digerakkan mengenai isu pelarian.

Kami mendesak pihak berkuasa tidak membiarkan gejala menyebarkan kebencian dan menganiaya komuniti pelarian diluar batas undang-undang negara. Ini adalah untuk mengelakkan tercetusnya ketegangan yang tidak diingini oleh golongan yang mencari kesempatan meraih kekeruhan di negara ini.

Kami juga mendesak dengan pendedahan oleh PDRM baru-baru ini bahawa ada pihak dalam negara yang terlibat dengan rasuah dalam sindiket penyeludupan pelarian masuk ke dalam negara supaya diambil tindakan tegas. Mereka perlu diheret ke muka pengadilan kerana mereka adalah antara faktor kenapa kemasukan warga asing mudah diseludup ke negara ini.


MOHD AZMI ABDUL HAMID ialah presiden Mapim, AHMAD AWANG ialah pengerusi Manar manakala ABDUL GHANI SAMSUDIN pula berkhidmat sebagai pengerusi Shura.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS