Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

GLOBAL | Thailand mencatatkan sifar kes baru Covid-19 serta tiada kematian akibat wabak itu dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kumulatif kekal pada 3,125 kes dengan 58 kematian.

Ini adalah hari ke-17 tiada penularan tempatan di negara itu.

Pembantu Jurucakap Pusat Pentadbiran Keadaan Covid-19 (CSSA) Dr Panprapa Yongtrakul berkata setakat ini, seramai 2,987 pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital manakala 80 pesakit masih dirawat di wad.

“Daripada 3,125 kes COVID-19 di negara ini, sebanyak 2,444 kes adalah penularan tempatan dan 681 kes import,” katanya dalam taklimat harian Covid-19, di Bangkok hari ini.

Thailand memulakan fasa pertama pelonggaran bagi perniagaan dan venue pada 3 Mei. Kira-kira 95 peratus perniagaan dan tempat dijangka beroperasi semula di bawah fasa keempat pelonggaran pada 15 Jun ini.

Sekolah antarabangsa, pusat tuisyen, taman hiburan, taman permainan, pusat jagaan kanak-kanak dan warga emas, serta fasiliti sukan terbuka dijangka dibuka semula.

Bagaimanapun, tempat-tempat berisiko tinggi termasuk pusat hiburan seperti pub, bar dan pusat karaoke serta ruang mandi-sauna-urut kekal ditutup.

Sementara itu, media tempatan melaporkan kerajaan Thai dijangka menarik balik perintah berkurung antara 11 malam hingga 3 pagi bermula 15 Jun.

Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha akan mempengerusikan mesyuarat CCSA esok untuk memuktamadkan senarai perniagaan dan tempat yang dibenarkan kembali beroperasi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS