Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Saluran Upin dan Ipin layak jadi penerima pertama anugerah Diamond Play Button
Diterbitkan:  Jun 11, 2020 9:08 PM
Dikemaskini: 1:46 PM

Produksi Les’ Copaque hari ini mengumumkan saluran YouTube milik mereka layak menjadi penerima pertama anugerah The Diamond Play Button dalam kalangan pencipta kandungan tempatan.

Syarikat animasi terbabit berkata, mereka berada dalam kelompok berkenaan selepas saluran yang memaparkan kandungan kisah berasaskan Upin dan Ipin itu menerima 10 juta pelanggan.

“Kami adalah saluran YouTube Malaysia pertama di Malaysia yang mempunyai 10 juta pelanggan dan bakal dianugerahkan The Diamond Play Button.

“Terima kasih seikhlasnya dari lubuk hati kami kepada peminat yang tidak henti-henti menyokong dan yakin kepada kami,” kata syarikat itu di media sosial.

Pengasas Les’ Copaque, Burhanuddin Md Radzi, turut berkongsi berita gembira berkenaan.

“Terima kasih untuk 10 juta pelanggan Diamond Play Button Award,” katanya.

Anugerah Pencipta YouTube - atau dikenali sebagai YouTube Play Button - adalah rangkaian hadiah dari platform berkenaan bertujuan mengiktiraf salurannya yang paling popular.

Kiraan dibuat berdasarkan jumlah pelanggan sesebuah saluran dan ditawarkan mengikut budi bicara YouTube.

Bagi kategori The Diamond Play Button, ia dianugerahkan selepas jumlah pelanggan mencapai atau mencecah 10 juta.

Selain The Diamond Play Button, terdapat beberapa lagi anugerah seperti The Silver Play Button untuk pelanggan mencecah atau melebihi 100,000, The Gold Play Button (sejuta) dan The Custom Play Button (50,000,000).

Berdasarkan laporan laman sesawang Social Blade, Les’ Copaque berada di tangga pertama daripada 250 saluran tertinggi di Malaysia, mengatasi saluran YouTube Didi & Friends - Lagu Kanak Kanak dengan hampir 4 juta pelanggan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS