Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
P Pinang kurangkan harga siling rumah mampu milik 10 peratus

Kerajaan Pulau Pinang meluluskan langkah untuk mengurangkan kos sara hidup dengan mengurangkan harga rumah mampu milik, dengan pemotongan sebanyak 10 peratus.

Harga siling baru kini adalah RM270,000 untuk bahagian pulau dan RM225,000 untuk Seberang Perai.

"Harga rumah mampu milik akan dikurangkan 10% dalam tempoh setahun," kata Exco Kerajaan Negeri Jagdeep Singh Deo.

Beliau berkata ekonomi negeri telah terjejas akibat wabak Covid-19 dan untuk memperbaiki keadaan, keputusan tertentu telah dibuat berkaitan Kempen Pemilikan Rumah 2020.

Pada masa ini, harga siling rumah mampu milik di bahagian pulau adalah RM150,000 hingga RM300,000. Kadar baru adalah antara RM135,000 hingga RM270,000.

Di Seberang Perai pula, harga siling semasa ialah RM150,000 hingga RM250,000. Kadar baru adalah antara RM135,000 hingga RM225,000.

Jagdeep berkata lagi, kerajaan negeri juga memutuskan untuk meneruskan harga pangsapuri kos rendah dan sederhana, masing-masing pada kadar RM42,000 dan RM72,500.

"Ini lebih rendah berbanding negeri-negeri lain yang menaikkan harga bagi kategori ini kepada RM60,000 hingga RM100,000," katanya.

Bulan lalu, Jagdeep yang merupakan Adun Datuk Keramat memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah meluluskan projek sektor perumahan berjumlah RM250.2 juta.

Katanya lagi, kerajaan persekutuan pula telah meluluskan RM20.75 juta, dan kedua-duanya akan digunakan untuk melaksanakan projek perumahan awam dan swasta.

Jagdeep berkata matlamat kerajaan negeri adalah memastikan rumah mampu milik yang mencukupi dengan sasaran 180,000 unit sebelum 2030.

"Sehingga hari ini, kami ada 105,719 unit, di mana 30,191 telah disiapkan, 24,098 masih dalam pembinaan dan 51,432 masih dalam perbincangan atau menunggu kelulusan.," katanya sambil menambah saiz setiap unit akan dikekalkan pada 850 kaki persegi.

Bagaimanapun beliau berkata pemaju yang mahu mengekalkan harga siling rumah mampu milik pada kadar RM250,000 dan RM300,000 telah diberitahu untuk membina unit yang lebih besar, iaitu 900 kaki persegi.

"Mereka juga akan menambah kemudahan awam untuk pembeli seperti ruang rekreasi, dewan serbaguna, taman permainan kanak-kanak, bilik rekreasi untuk warga emas, perpustakaan atau bilik bacaan, gimnasium dan kolam renang.

"Kami juga diminta untuk memastikan kualiti rumah mampu milik mematuhi Sistem Penilaian Kualiti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan dengan skor Pembinaan atau 'Qlassic' tidak kurang daripada 70 peratus.

"Ini untuk memastikan kualiti pembinaan tetap terjaga walaupun dengan penurunan harga rumah," katanya lagi.

Sementara itu, masih ada 3,043 unit bernilai RM2.6 bilion yang tiada pembeli di negeri itu.

Bagi menggalakkan penjualannya, Jagdeep berkata pengurangan harga siling untuk pembeli warga asing akan dikekalkan selama setahun.

Untuk hartanah berstrata di pulau, harga siling untuk warga asing akan dikurangkan dari RM1 juta kepada RM800,000, manakala di seberang Perai dari RM500,000 kepada RM400,000.

Untuk hartanah seperti rumah teres, harga siling untuk warga asing di pulau akan dikurangkan daripada RM3 juta kepadaRM1.8 juta dan di Seberang Perai daripada RM1 juta kepada RM750,000.

"Perlu dinyatakan bahawa penurunan harga siling untuk warga asing adalah wajar dengan mengambil kira had minimum siling yang ditetapkan oleh kerajaan pusat.

"Pulau Pinang mempunyai nilai tanah yang lebih tinggi dan tanah yang sesuai untuk pembangunan adalah terhad. Langkah penyelarasan antara penjualan unit tidak terjual dan kepentingan pembeli tempatan perlu diambil kira.

"Berdasarkan analisis Pusat Maklumat Harta Tanah Nasional, dari 2017 hingga suku pertama 2020, Pulau Pinang menunjukkan penurunan yang signifikan dan konsisten berhubung unit tak terjual, pada kadar 22.3 peratus.

"Ini dibandingkan dengan Johor, Selangor, dan Perak yang menyaksikan kenaikan unit yang tidak terjual masing-masing pada 24.9 peratus, 30.5 peratus, dan 116.1 peratus," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS