Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengangkutan awam kini dibenarkan beroperasi sepenuhnya

Semua pengangkutan awam dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh ketika tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Ia termasuklah teksi, perkhidmatan e-hailing, bas ekspres, bas awam, kereta api, LRT dan MRT, feri dan kapal terbang.

Menurut Ismail, prosedur operasi standard (SOP) bagi pengangkutan awam adalah untuk penumpang memakai pelitup muka sepanjang perjalanan.

Bagi teksi, perkhidmatan e-hailing dan bas, pemandu juga perlu memakai pelitup muka sepanjang perjalanan, katanya lagi.

Sebelum ini, pengangkutan awam dibenarkan beroperasi secara terhad, misalnya dengan kapasiti separuh bagi kereta api dan penumpang tidak lebih dua orang bagi teksi dan perkhidmatan e-hailing.

"Mesyuarat khas (berkenaan SOP pengangkutan awam) setuju untuk membenarkan perkhidmatan e-hailing dan teksi beroperasi tanpa had masa dan kapasiti penumpang juga mengikut kapasiti kenderaan.

"Penggunaan aplikasi MySejahtera untuk memudahkan proses pengesanan kontak dan pembayaran tambang mengikut kaedah tanpa tunai digalakkan.

"Pemakaian topeng muka adalah diwajibkan bagi semua penumpang dan pemandu," katanya.

Beliau berkata bas ekspres juga dibenarkan beroperasi dalam kapasiti penuh dan tanpa had masa, dan pengusaha bas ekspres perlu mendaftarkan penumpang menerusi MySejahtera atau secara manual.

Selain pemakaian pelitup muka, suhu badan penumpang bas ekspres juga perlu diambil sebelum dibenarkan menaiki bas.

Ismail berkata, pengusaha bas ekspres perlu membekalkan pelitup muka kepada penumpang yang tidak memilikinya, serta membersihkan bas setiap kali selesai perjalanan.

Beliau turut mencadangkan pengusaha boleh menjual pelitup muka kepada penumpang.

Bagi pengangkutan awam yang membenarkan penumpang berdiri, seperti LRT, beliau menggesa penumpang agar mengamalkan penjarakan sosial sepanjang perjalanan.

"SOP yang ditetapkan perlu dipatuhi pada setiap masa termasuk memakai topeng muka, memuat turun aplikasi MySejahtera dan penggunaan pembersih tangan," katanya lagi.

Kapal terbang turut dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh. Suhu badan penumpang perlu diperiksa sebelum memasuki pesawat, dan mereka perlu memakai pelitup muka sepanjang penerbangan, katanya lagi.

Bagi kenderaan persendirian pula, Ismail berkata penumpang kekal tidak boleh lebih empat orang atau berdasarkan kapasiti kenderaan.

Sebelum ini hanya individu dari rumah yang sama dibenarkan berkongsi kenderaan.

Dengan penguatkuasaan PKPP, Ismail berkata ia tidak lagi terpakai dengan syarat mereka mematuhi ketetapan penumpang maksimum tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS