Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Selaras dengan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) bermula semalam, perkhidmatan gunting rambut - yang begitu dinanti-nantikan ramai rakyat Malaysia - akhirnya kembali beroperasi.

Tinjauan Malaysiakini di sejumlah kedai gunting rambut di sekitar ibu kota mendapati rata-rata pengusaha tidak berkira dalam melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, bahkan gembira dapat kembali beroperasi setelah hampir tiga bulan menutup kedai.

Nama, nombor telefon dan suhu badan pelanggan dicatat. Maklumat itu direkodkan di buku log atau menerusi kod QR yang boleh diimbas menerusi aplikasi MySejahtera.

Pelanggan turut dipakaikan apron pakai buang. Bagi tukang gunting pula, mereka perlu memakai sarung tangan dan pelitup muka dan ada juga yang mengenakan perisai muka.

“Tak ada hal. Kalau nak buka, kena akurlah dengan SOP,” kata seorang tukang gunting yang tak enggan dinamakan di Sungai Besi, sebaik selesai menggunting rambut seorang pelanggannya.

Bagi pengusaha salun Ray Tan, 32, juga di Sungai Besi, meskipun pemakaian sarung tangan dan perisai muka sedikit menyukarkan kerja, dia tetap akur dan gembira kerana dapat kembali bekerja.

Namun, satu hal yang menjadi kebimbangannya adalah sewa premis yang langsung tiada pengurangan sejak PKP pada 18 Mac lalu sedangkan katanya, perniagaan mereka tidak memberikan keuntungan yang terlalu besar.

“Saya mesti rasa gembira sebab dapat buat perniagaaan. Tapi kena risau juga tentang sewa. Saya risau itu sajalah,” katanya sambil berkongsi bahawa dua rakannya yang turut mengusahakan salun telah menamatkan operasi kerana tak mampu menampung kos sewa.

Ada juga pengusaha salun yang berpandangan keperluan menggantikan apron untuk setiap pelanggan sebagai satu pembaziran, seperti yang dinyatakan Kek Siau Hui, 34, ketika ditemui di kedainya di Bandar Sri Permaisuri.

Kek Siau Hu

Rata-rata pengusaha yang ditemui semalam berkata mereka menerima sambutan baik, iatu kira-kira 10 pelanggan dalam tempoh beberapa jam sahaja selepas membuka kedai.

Harga perkhidmatan juga dinaikkan sedikit - rata-ratanya antara RM2 ke RM5- bagi menampung kos alat perlindungan tambahan bagi mematuhi SOP.

Bagi seorang jurudandan rambut di Bandar Sri Permaisuri, Nur Ziana, 24, dia berharap kerajaan dapat mempertimbang untuk memanjangkan tempoh bagi pendandan berurusan dengan setiap pelanggan.

Katanya, tempoh sejam yang diperuntukkan kini hanya cukup untuk khidmat mencuci, memotong dan merawat rambut, tetapi tidak cukup untuk meluruskan (rebonding) dan mewarnakan rambut yang turut mendapat permintaan.

Meskipun faham akan keperluan SOP berkenaan, dia tetap berharap agar kerajaan dapat memanjangkan sedikit masa berkenaan, apabila situasi Covid-19 kian pulih nanti.

Nur Ziana

Berdasarkan tinjauan, kebanyakan salun mengutamakan konsep temu janji serta mengenakan perisai muka berbanding kedai gunting rambut biasa.

Berdasarkan SOP yang dikeluarkan untuk kedai gunting rambut, jurudandan rambut dan salun kecantikan, pengusaha “amat digalakkan” untuk menerima pelanggan berdasarkan temu janji.

Mereka juga diwajibkan memakai penutup hidung dan mulut sepanjang masa, serta memakai satu set sarung tangan pakai buang untuk setiap pelanggan, manakala penggunaan perisai muka dan gaun pakai buang oleh pekerja adalah “digalakkan”.

Pemakaian apron pakai buang oleh setiap pelanggan juga dimestikan, manakala tempoh masa untuk mendandan atau menggunting rambut seorang pelanggan tidak boleh melebihi satu jam.

'Pada mulanya 30 minit saja'

Berkenaan tempoh masa sejam itu, Presiden Pertubuhan Pendandan Rambut Malaysia (MHA) Michael Poh berkata ia adalah budi bicara yang sangat baik oleh kerajaan.

Dia berkata, kerajaan pada mulanya hanya membenarkan tempoh 30 minit sahaja dan hanya untuk memotong rambut, tetapi bersetuju menambah masa berkenaan setelah rayuan beberapa persatuan pendandan rambut.

Mengakui tempoh sejam itu tidak cukup untuk dandanan dengan pelbagai teknik, Poh bagaimanapun berkata ia memadai untuk dandanan rambut seadanya, termasuk mewarnakan rambut untuk menutup uban.

MHA adalah persatuan yang terlibat menghantar proposal bagi SOP operasi kedai gunting dan dandanan rambut untuk pertimbangan kerajaan pada bulan lalu.

Ditanya berkenaan perkara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) Alexander Nanta Linggi mengambil maklum akan perkara yang dibangkitkan pengusaha itu dan berkata kerajaan akan mengumpul segala maklum balas berhubung SOP itu untuk penambahbaikan.

Namun, Alexander yang bercakap dalam sidang media selepas membuat tinjauan kedai gunting rambut di sebuah pusat membeli belah semalam, meminta pengusaha untuk terus mematuhi SOP sedia ada buat masa ini.

Selain pengusaha, pelanggan turut tidak dapat menyembunyikan rasa teruja dengan pembukaan semula khidmat menggunting rambut, dan berkata mereka yakin dengan SOP baru yang dilaksanakan.

Ryan Ooi

“Rasa lega dapat gunting rambut. Saya rasa SOP yang ditetapkan memuaskan, rasa selamat,” kata ahli farmaseutikal, Hanafi, 33, yang sedang beratur di sebuah kedai gunting di Bandar Sri Permaisuri semalam.

“Masa PKP saya potong rambut sendiri. Susah hati kalau tak gunting rambut (dengan pendandan rambut), rambut pun tak ada stail, keyakinan diri pun tak ada. Sekarang rasa bagus,” kata jurulatih kecergasan, Ryan Ooi, 47, ketika baru selesai mendandan rambut di salun di sebuah pusat membeli belah di Cheras semalam. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS