GLOBAL | China telah mengeluarkan tenggiling daripada senarai rasmi rawatan perubatan tradisional China, kata laporan.
Tindakan berkenaan, menurut laporan akhbar China, Health Times dilaksanakan selepas mamalia itu dinaikkan menjadi status haiwan dilindungi pada minggu lalu.
Menurut Tabung Perlindungan Haiwan Liar (WWF) tenggiling merupakan haiwan yang paling banyak diperdagangkan di Asia, meskipun dilindungi oleh undang-undang antarabangsa.
Haiwan mamalia bersisik itu sedang diancam kepupusan akibat kegiatan pemburuan haram.
Aktivis Pertubuhan Perlindungan Haiwan Sedunia, Katheryn Wise dipetik BBC pada Rabu berkata dengan "berita baik" ini diharapkan China akan memperluas perlindungan undang-undang terhadap perdagangan semua haiwan liar terancam.
"(Haiwan-haiwan ini) sebagaimana tenggiling diburu dari persekitaran liar semulajadi dan sering ditempatkan di sangkar yang kotor, sempit, sehingga menjadi pusat pembiakan wabak penyakit."
Sejak wabak Covid-19 dikesan di Wuhan pada Januari lalu, China telah mengeluarkan perintah pengharaman sementara pasar hidupan liar.
Meskipun melarang penggunaan haiwan liar sebagai makanan tetapi terdapat beberapa pengecualian bagi tujuan perubatan atau produk kulit dan bulu.
Saintis masih menyelidik sekiranya tenggiling yang diseludup mungkin berperanan dalam menyebarkan virus daripada haiwan kepada manusia tetapi buktinya masih belum jelas lagi.
Pada 7 Feb, Reuters melaporkan wabak koronavirus baru yang merebak di China mungkin tersebar daripada kelawar kepada manusia melalui kegiatan perdagangan haram haiwan liar.
Agensi berita rasmi China, Xinhua melaporkan urutan salasilah genom baka koronovirus novel yang diasingkan daripada tenggiling dalam kajian itu didapati 90 peratus serupa dengan yang menjangkiti manusia.
Kajian itu mendapati tenggiling "berkemungkinan besar menjadi perumah sementara (virus itu)."
Bagaimanapun, Profesor Perubatan Veterinar Hong Kong City University, Dirk Pfeiffer berkata, kajian itu masih lagi terlalu jauh untuk membuktikan tenggiling menyebarkan virus Covid-19, malah kaitan antara manusia dan pasar hidupan liar di Wuhan itu juga masih perlu dibuktikan.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.