Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelajar tingkatan 5 dan 6 mula sekolah 24 Jun ini

  • Dikemas kini dengan SOP yang akan diguna pakai

Sesi persekolahan bakal bermula pada 24 Jun bagi pelajar kelas peperiksaan awam – tingkatan lima dan tingkatan enam.

Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat setelah mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan (KKM)dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)

"KPM tetapkan bahawa tarikh buka sekolah untuk murid kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (Stam) serta peperiksaan antarabangsa adalah pada hari Rabu 24 Jun 2020,” katanya dalam satu sidang media khas secara langsung hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa sekolah akan dibuka semula secara berperingkat pada tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang bermula hari ini.

Sementara itu, Mohd Radzi menjelaskan bahawa pelajar akan mengikuti beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan melalui buku garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) 4 Jun lalu.

“Sewaktu di sekolah, murid akan diingatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan diri, terutamanya amalan mencuci tangan dengan kerap. Contohnya, apabila murid tiba di sekolah, pada waktu rehat dan sebelum meninggalkan sekolah.

“Di kantin nanti, makanan dan minuman akan siap dibungkus. Murid perlu beratur mengikut tanda penjarakan semasa membeli makanan di kantin. Murid akan makan di dalam kelas masing- masing di bawah pengawasan guru,” katanya.

Tambahnya, aktiviti seperti sukan dan kokurikulum secara bersemuka tidak akan dilaksanakan dalam sesi persekolahan itu.

Selain itu, SOP tersebut turut sama diaplikasi buat pelajar tingkatan lima dan tingkatan enam yang berada di asrama.

“Dalam bilik asrama, katil-katil disusun pada jarak satu meter. Bilangan katil bagi setiap bilik adalah bergantung kepada keluasan bilik.

“Selain itu, penggiliran waktu makan akan dilaksanakan mengikut bilangan murid. Susunan meja di dewan makan akan turut mengambil kira keperluan penjarakan sosial,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS